Perak lakar sejarah, juarai Ragbi Piala Agong 2016
Astro Arena
Oktober 3, 2016 23:46 MYT
Oktober 3, 2016 23:46 MYT
Perak mencatat sejarah muncul juara Ragbi Piala Agong buat kali pertama sejak menyertainya 33 edisi lalu dalam perlawanan yang berlanjutan ke penentuan 'sudden death'.
Memegang gelaran naib johan pada tahun lepas, Perak terpaksa berhempas-pulas dalam perlawanan akhir menentang Johor.
Wan Mohd Asraf meletakkan Johor enam mata di hadapan dengan dua penalti pada minit kelapan dan 19.
Lapan minit sebelum babak pertama berakhir, Vaovasa Afa membuat try pertama dengan larian sejauh 50 meter setelah menerima hantaran Atunaisa Lacadamu.
Walaupun gagal membuat conversion, Johor selesa 11 mata di hadapan.
Wan Asyraf Nordin menyumbang tiga lagi mata buat Johor pada minit ke-44 menerusi penalti.
Perak membalas dua minit kemudian dengan try daripada number eight, Veniona, yang bermula dari scrum dalam garisan lima meter Johor manakala dua lagi tambahan mata diperoleh daripada conversion Aamir Aswad.
Enggan mengaku kalah, kelincahan Amir Aswad menewaskan dua pemain Johor serta conversion Mohd Faizal memaksa perlawanan ke masa tambahan.
Hanya empat minit dalam masa tambahan, Amir Aswad muncul wira Perak, apabila kemas menendang masuk penalti akibat kesilapan Johor.
Sementara itu, jurulatih Perak, Nazeer Nesharah, mengakui dirinya gembira dengan prestasi anak buahnya, apatah lagi berjaya melakar sejarah baharu.
"Syukur Alhamdulilah kami berjaya memenangni perlawanan akhir ini.
"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada pemain. Mereka bermain sebaik mungkin dan telah memberi segala-galanyanya untuk muncul pemenang," katanya.
Kapten pasukan, Mohd Nor Adol, mendedahkan mereka tidak cuba mensasarkan final seawal kejohanan dimulakan.
"Sebenarnya, pada awal kejohanan, kami tidak fokus untuk mara ke final, kami hanya cuba menempuh satu demi satu perlawanan," jelasnya.