Perak harap tuah di Bumi Kenyalang
Astro Arena
April 12, 2017 14:53 MYT
April 12, 2017 14:53 MYT
KUNJUNGAN ke Sarawak dalam aksi Liga Super, Sabtu ini dianggap misi sukar, namun The Bos Gaurus berharap tuah akan menyebelahi mereka.
Menurut pemain import kelahiran Brazil, Thiago Junio De Aquino, Sarawak sebagai tuan rumah pasti mahu mengutip mata penuh dan memberikan persembahan terbaik di hadapan penyokong mereka.
"Oleh itu, tentu sukar di sana (Sarawak) tetapi saya dan rakan mahu menang. Saya yakin jika berjaya di sana, ini akan menjadi titik tolak momentum kemenangan kami. Aura ini yang Perak perlukan sekarang.
"Kita bercakap mengenai bolasepak, jika tiada keputusan menang, maka habislah," katanya.
Ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, sedang mengatur taktikal yang sesuai untuk berhadapan Sarawak.
"Ketika bertemu T-Team minggu lalu, banyak kelemahan ketara. Ini yang perlu diperbaiki. Apa-apa pun, pemain perlu lebih yakin dengan kebolehan yang ada.
"Saya ke sini (Perak) bukan untuk melihat Perak jatuh tetapi pastinya untuk mengecapi kejayaan.
"Perak dibarisi pemain berkaliber. Oleh itu, usah gusar. Dengan masa dan usaha, saya pasti pasukan ini akan berada di landasan yang betul." tegas Mehmet.