Perak hampir pasti tidak sertai bola sepak SUKMA di Kuching
Abd Razak Mohd Ali
Mac 23, 2024 09:45 MYT
Mac 23, 2024 09:45 MYT
IPOH: Perak hampir pasti tidak akan mengambil bahagian dalam acara bola sepak pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) XXI di Kuching tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin berkata, pihaknya tidak berupaya membuat persiapan pasukan kerana kurang tajaan dan sokongan kewangan daripada Majlis Sukan Negeri (MSN) Perak.
Menurutnya, mereka telah memohon sumbangan RM20,000 sebulan atau RM160,000 untuk lapan bulan menjelang SUKMA tetapi diluluskan hanya RM50,000.
Beliau memberitahu, dari aspek pembangunan, Perak FC juga terpaksa menanggung beban kewangan untuk persediaan pasukan Bawah-23, Bawah-20 dan Bawah-18 seperti yang disyaratkan oleh MFL.
“Kita ada kos untuk membina sendiri pemain, kita buat kejohanan dua tahun berturut-turut untuk dapatkan pemain yang kita bina sekarang dan pemain bawah 21 tahun yang ada sekarang ini adalah skuad pembangunan untuk negeri Perak.
“SUKMA pada bulan Ogos dan Liga Belia belum habis lagi. Jadi risiko kami lepaskan pemain itu tidak boleh berharga RM50,000.
“Bukannya kita nak ‘demand’ atau apa, tetapi sekurang-kurangnya sama dengan negeri-negeri lain apa yang MSN bagi,” katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Menurutnya, Perak FC tidak meminta banyak tetapi sekurang-kurangnya bantuan itu biarlah sama seperti negeri lain kerana SUKMA untuk negeri dan selama ini pun mereka telah berkorban jiwa raga untuk Perak.
Tambahan pula, katanya, mereka telah membuat banyak pelaburan tetapi masih belum mendapat pulangan untuk menampung pasukan Liga Super.
“Sekarang ini, bukannya empat, tetapi lima pasukan! Sampaikan bawah 17 tahun kita kena terlibat.
“Jadi, nak lepaskan aset kita mestilah ada situasi menang-menang. Dan atas sebab itulah pihak lembaga (Lembaga Pengarah Perak FC) buat keputusan,” jelasnya.
Terdahulu, masalah itu didedahkan oleh Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong baru-baru ini.
Jika itu berlaku, ia agak malang bagi Perak yang melengkapkan hatrik pingat emas acara bola sepak pada SUKMA edisi 2014, 2016 dan kali terakhir, dengan menewaskan Kedah 2-1 pada final edisi 2018, di Ipoh.