Perak FC tumbang 2-0 kepada Terengganu FC
Bernama
Mac 14, 2021 05:31 MYT
Mac 14, 2021 05:31 MYT
IPOH: Perak FC gagal merakamkan kemenangan kedua berturut-turut apabila tumpas 2-0 kepada Terengganu FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak, malam tadi.
Pasukan pelawat nyaris mendahului pada minit kedua, namun tolakan yang dilakukan penyerang import dari Ghana, Jordan Mintah berjaya dikeluarkan dari garisan gol oleh pemain pertahanan Perak, Shakir Hamzah.
Berselang seminit, Mintah sekali lagi cuba memecah kebuntuan namun tandukannya hasil hantaran silang rakan sepasukan, Makan Konate sedikit tinggi melewati palang gol Perak.
Skuad The Bos Gaurus cuba untuk mengimbangi asakan lawan tetapi tandukan yang dilakukan pemain import dari Brazil, Leandro Dos Santos yang berpunca daripada sepakan sudut Mohd Raifiuddin Rodin sedikit melewati palang gol Terengganu.
Terengganu akhirnya berjaya memecah kebuntuan pada minit ke-24, apabila rembatan kencang bekas pemain kebangsaan Mohd Faisal Abdul Halim dari dalam kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol Perak, Mohd Hafizul Hakim.
Pasukan tuan rumah sekali lagi cuba menyamakan kedudukan, namun 'first timer' yang dilakukan pemain import, Raianderson dari dalam kotak penalti lawan pada minit ke-42 melewati palang gol meskipun penjaga gol lawan, Muhammad Rahadiazli Rahalim sudah tertewas.
Bersambung aksi babak kedua, Perak melakukan serangan bertali arus dan pada minit ke-76, rembatan kencang yang dilakukan penyerang naturalisasi, Guilherme De Paula di penjuru kiri kotak penalti gawang Terengganu berjaya ditepis keluar oleh Muhammad Rahadiazli.
De Paula sekali lagi kecewa pada minit ke-86, apabila lambungan yang dilakukan dari dalam kotak penalti sekadar singgah ke palang gol lawan.
Tersentak dengan serangan bertali arus itu, pasukan pelawat memperkemaskan jentera serangan dan akhirnya pada minit ke-90, pemain import dari Ivory Coast, Dechi Marcel berjaya menggandakan jaringan menerusi satu percubaan lencong dari luar kotak penalti tuan rumah.
-- BERNAMA