Perak FC terima keputusan Bobie Farid letak jawatan CEO
Bernama
Ogos 2, 2024 23:40 MYT
Ogos 2, 2024 23:40 MYT
IPOH: Perak FC mengesahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sementara kelab itu, Bobie Farid Shamsudin telah meletakkan jawatan berkuat kuasa serta-merta selepas mengemudi pasukan sejak dua tahun lalu.
Pengerusi Perak FC Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata sepanjang bersama pasukan sejak 31 Mei 2022, Bobie Farid telah memikul tanggungjawab yang diamanahkan dengan penuh ikhlas tanpa sebarang imbuhan daripada pihak pengurusan.
"Malangnya disebabkan beberapa perkara, ketika ini hasilnya tidak capai seperti yang kita semua inginkan. Sebagai entiti swasta yang tidak pernah terlibat dalam bola sepak, kami di pihak pengurusan pastinya telah melakukan banyak kesilapan.
"Bagaimanapun, kami percaya setiap kelemahan ini akan mampu diperbaiki dan ini merupakan keluk pembelajaran untuk kami," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Selasa lalu, Bobie Farid menerusi laman Facebook peribadinya telah mengumumkan peletakan jawatan tersebut selepas The Bos Gaurus tumpas 1-2 di tangan Kuching City FC di Stadium Perak pada perlawanan ketujuh Liga Super 2024.
Sepanjang tiga musim mengemudi Perak, pencapaian terbaiknya adalah membawa pasukan melangkah ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia pada tahun lalu.
Sementara itu, Abdul Azim berkata ketika ini keutamaan pihak pengurusan adalah untuk memastikan kelab dalam keadaan stabil dengan tiada lagi sebarang perubahan dalam struktur pentadbiran kelab, selain memastikan Perak FC mampu bersaing bagi menempatkan diri pada kedudukan terbaik Liga Super serta Piala Malaysia.
"Kelab bola sepak ini adalah aset awam dan walaupun tanggungjawab terletak kepada kami sebagai pemegang saham dan pemilik, namun kami akan terus memperbaiki kelemahan untuk baki musim ini," katanya.
Selepaa tujuh perlawanan Liga Super musim ini, Perak FC menghuni tangga kesembilan dengan enam mata selepas mencatatkan dua kemenangan dan lima kekalahan.
-- BERNAMA