Perak FC perkenal logo baharu
Sinar Harian
Januari 29, 2022 07:40 MYT
Januari 29, 2022 07:40 MYT
IPOH: Pasukan Perak FC memperkenalkan logo baharu menjelang saingan Liga Premier musim ini menerusi laman media sosial milik kelab berkenaan, pada Sabtu.
Menerusi satu klip video berdurasi 45 saat yang dimuat naik di akaun Facebook, Twitter, Instagram dan Youtube kelab tersebut, beberapa logo Perak FC sebelum ini turut ditampilkan dari tahun 1921 sehingga tahun 2021, termasuk logo terbaharu yang diperkenalkan.
Logo yang menampilkan tiga warna tradisi utama iaitu putih, kuning dan hitam itu disertakan tulisan Perak Football Club, juga karikatur seakan seladang yang menjadi maskot pasukan berkenaan.
Untuk rekod Perak FC pernah menggunakan tiga logo sebelum ini dalam saingan liga Malaysia,malah pada tahun lalu diadakan pertandingan mencipta logo Perak FC bagi musim 2021 selepas logo sedia ada mendapat kritikan daripada peminat.
Dalam pada itu, pengenalan logo baharu tersebut mendapat maklum balas positif dari peminat yang meninggalkan komen pada ruangan hantaran memuatkan video berkenaan.
Selepas 30 minit dimuat naik di Facebook rasmi kelab tersebut, kira-kira 100 komen diterima mengenai logo baharu tersebut dan rata-rata menyambut baik reka bentuk logo berkenaan walaupun ada sebahagian kecil mempersoalkan penukaran logo pada tahun ini.
Bagaimanapun setakat ini, pihak pengurusan Perak FC belum memberikan sebarang penjelasan mengenai logo baharu tersebut.
Pada 10 Januari lalu, Kelab Liga Premier itu mengumumkan barisan pengurusan dan pasukan kejurulatihan mereka dengan mempertaruhkan empat bekas legenda Kejor Yeop Kejor bagi mengetuai bahagian teknikal kelab tersebut untuk mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2022.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC, Yunus Zakaria, empat pemain terbabit ialah Faizal Zainal, Yusri Che Lah, Chan Wing Hoong dan Ahmad Shahrul Azhar dilantik mengisi empat kekosongan utama sekali gus menunjukkan kesediaan kelab untuk kembali memartabatkan imej bola sepak Perak.
Faizal Zainal dilantik sebagai Pengurus Perak FC manakala Yusri Che Lah sebagai Ketua Jurulatih bersama dibantu Penolong Ketua jurulatih Chan Wing Hoong manakala dan Ahmad Shahrul Azhar pula bertanggungjawab sebagai pengarah kelab.
*Artikel asal di Sinar Harian