Perak FC mahu cari ‘Soh Chin Ann’ yang semakin hilang
Abd Razak Mohd Ali
November 2, 2023 08:45 MYT
November 2, 2023 08:45 MYT
IPOH: Menyedari penyertaan kaum Cina dalam sukan bola sepak negara semakin kurang, Perak FC merangka pelbagai program untuk mencari ‘Soh Chin Ann’ melalui program pembangunannya.
Pengarah Pembangunan Belia Perak FC, Neow Choo Seong berkata, bagi tujuan itu, pihaknya sedang bekerjasama dengan beberapa pihak seperti Kelab Bola Sepak Cina dan Kelab Rekreasi Cina Perak (PCRR).
“Dulu kita ada Soh Chin Ann, malah kalau nak sebut di Perak sendiri, kita ada Chan Wing Hong, Wong Kam Fook, malah saya sendiri pun bekas pemain.
“Apabila saya ambil alih program pembangunan ini, saya nampak penerimaan dan sambutan di kalangan anak-anak Cina peringkat akar umbi kurang,” katanya dalam sidan media di pejabat Perak FC di sini, semalam.
Datuk Wira Soh Chin Ann adalah bekas kapten bola sepak Malaysia yang sezaman dengan Allahyarham Datuk Mokhtar Dahari, Datuk Santokh Singh dan mendiang Datuk R. Arumugam.
Mereka adalah lagenda bola sepak negara yang bukan sahaja digeruni pasukan lawan, malah menjadi lambang perpaduan negara di dalam sukan.
Choo Seong berkata, antara usaha untuk yang mereka lakukan untuk menarik minat golongan muda Cina bermain bola sepak ialah mengadakan program melatih jurulatih di kalangan masyarakat Cina, khususnya di sekolah-sekolah Cina.
“Kita harap dengan cara ini, ia akan dapat memupuk minat di kalangan pelajar Cina di peringkat akar umbi untuk bermain bola sepak,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berharap agar pengaruh bekas-bekas pemain dari kaum Cina serta media berbahasa Cina dapat membantu usaha tersebut.
Selain usaha menarik minat golongan muda Cina, tambahnya, Perak FC juga turut berusaha menarik penyertaan dari masyarakat Orang Asli.
Menurutnya, berdasarkan program yang diadakan di daerah Hulu Perak baru-baru ini, ramai pemain yang berbakat yang boleh diketengahkan.
“Saya harap dalam masa akan datang, kita pun ada di kalangan masyarakat Orang Asli yang dapat mewakili Perak,” katanya.