Perak FC jamin bayar gaji pemain 7 Mac

Amirrul Rabbani
Mac 3, 2022 20:32 MYT
Perak FC telah meminta para pemain mereka untuk menunggu sehingga 7 Mac. - Gambar/ FB Perak FC
IPOH: Perak FC memberi jaminan bahawa isu tunggakan gaji pemain akan diselesaikan selewat-lewatnya 7 Mac ini, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perk FC, Muhammad Yunus Zakariah.
Menurutnya walaupun kelab telah menjamin pembayaran gaji kepada bekas para pemain import sebelum akhir April, namun jaminan sedemikian tidak diberikan kepada pemain tempatan sedia ada.
“Perak FC telah meminta para pemain mereka untuk menunggu sehingga 7 Mac, selepas laporan mengenai gaji tidak berbayar diperkatakan di media sosial.
“Pihak pengurusan akan membuat pembayaran itu selewat-lewatnya pada 7 Mac seperti yang dinyatakan dalam kontrak masing-masing.
“Kelab bercadang untuk menyelesaikan semua tunggakan kepada pemain sedia ada, atau sekurang-kurangnya bayaran bulan pertama terlebih dahulu,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Ujarnya kenyataan berkenaan dibuat susulan laporan sebuah portal berita yang mendakwa skuad ‘The Bos Gaurus’ masih belum menerima gaji dua bulan terakhir ini iaitu Januari dan Februari.
Laporan itu menyebut pasukan bola sepak Perak itu terus dihimpit masalah di mana sebelum ini telah digantung daripada menandatangani pemain baharu ekoran hutang berjumlah RM1.7 juta yang belum diselesaikan.
Sementara itu, dalam kenyataan sama Muhammad Yunus memberitahu Lotto masih kekal sebagai penaja rasmi jersi Perak FC walaupun pelbagai spekulasi telah dibuat di media sosial.
“Seperti yang diumumkan di forum peminat pada 5 Januari lalu, jersi pasukan untuk beberapa perlawanan yang pertama adalah menyamai jersi yang dipakai semasa perlawanan pramusim.
“Jersi rasmi pasukan Perak untuk musim 2022 yang akan dijual kepada para peminat akan diperkenalkan pada bulan April atau Mei,” jelas beliau.
#Perak FC #isu gaji #Muhammad Yunus Zakariah #isu tular
;