Perak FC hanya tunggu bukti dana
Sinar Harian
Mac 30, 2022 09:52 MYT
Mac 30, 2022 09:52 MYT
PERAK FC kini hanya menunggu bukti dana (proof of fund) daripada pihak yang diberitakan berminat mengambil alih kelab Liga Premier tersebut sebelum menyerahkannya kepada Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).
Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Muhammad Yunus Zakariah, pemilik Perak FC ketika ini, Impact Media and Communication (IMC) Sdn Bhd juga telah berbincang dengan pihak terbabit baru-baru ini dan bersetuju dengan sebahagian besar terma-terma dikemukakan.
“Setakat ini kita sudah pun 80 peratus bersetuju dengan terma dikemukakan pelabur, bagaimanapun kita masih menunggu dokumen proof of fund daripada mereka.
“Namun pada masa sama, kami juga ada bercakap dengan pihak-pihak lain juga, mana tahu kalau-kalau last minute ada U-turn. Apa pun, setakat ini maklum balas yang kami terima adalah positif.
“Insya-ALLAH, setelah kami peroleh dokumen berkenaan, semua benda akan berjalan lancar,” katanya kepada Sukan Sinar pada Selasa.
Sementara itu, Muhammad Yunus berkata, pihaknya juga akan menghantar permohonan kepada MFL bagi tujuan melanjutkan tempoh menjelaskan tunggakan gaji pemain.
Katanya, tarikh akhir bagi menjelaskan tunggakan itu adalah pada 31 Mac, namun diharap agar tempoh itu dapat dilanjutkan lagi bagi membolehkan tunggakan gaji berkenaan dapat dijelaskan.
“Seperti prosedur MFL, kita akan diberikan tarikh tertentu untuk kemukakan dokumen yang diperlukan tetapi rasanya kami mungkin akan melangkaui tarikh diberikan kerana masih menunggu proof of fund daripada pelabur.
“Kalau ikutkan, kita kena serahkan Jumaat lalu tetapi tak dapat ditunaikan, jika kami tidak menerimanya hari ini (Selasa), kami akan hantar surat bagi memohon tempoh lanjutan kepada MFL,” katanya.
*Artikel asal di Sinar Harian