Perak FC dedah logo rasmi baharu

Abd Razak Mohd Ali
Februari 25, 2021 11:02 MYT
Logo rasmi baharu Perak FC akhirnya dimuktamadkan hasil undian peminat dan penyokong bola sepak negeri Perak. - Foto ihsan Facebook Perak TBG
IPOH: Logo rasmi baharu Perak FC akhirnya dimuktamadkan hasil undian peminat dan penyokong bola sepak negeri Perak.
Logo ciptaan anak Perak, Hafiz Ismail berjaya terpilih sebagai logo rasmi baharu Perak FC, sekali gus memenangi hadian utama RM3,000 beserta hadiah iringan.
Ahli Lembaga Pengarah Perak FC, Khairul Shahril Mohamed berkata, lebih 35,000 orang telah mengundi secara atas talian untuk memilih logo kelab itu daripada 10 logo yang disenarai pendek.
"Alhamdulillah, yang paling melegakan diri saya ialah feedback yang cukup positif daripada semua peminat dan saya yakin ini merupakan langkah kita yang semakin baik dalam menguruskan pasukan kita ini.
"Jadi sebab itu saya sebagai Ahli Lembaga Perak FC mengharapkan sokongan berterusan daripada penyokong-penyokong kita kita.
"Kita mengalu-alukan teguran dan juga nasihat daripada peminat, khususnya dalam kita memastikan perjalanan Perak FC ni berjalan dengan baik dan lancar, insya-Allah," katanya pada sidang media di pejabat Perak FC di Ipoh, pada Khamis.
BACA: PAFA terima peletakan jawatan Ahmad Faizal
Beliau yang juga Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak berkata, logo baharu itu turut mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Di samping itu, kata Khairul Shahril, pihaknya juga mendaftar logo itu dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
#logo Perak FC #Perak FC #Hafiz Ismail #Perak #khairul shahril mohamed #Sultan Perak #Sultan Nazrin Muizzuddin Shah