Perak FC bakal terima pemilik baru
Astro Arena
April 19, 2022 09:15 MYT
April 19, 2022 09:15 MYT
KETUA Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Yunus Zakariah, mendedahkan bahawa pasukan itu sudah hampir pasti mencapai kata sepakat dengan sebuah syarikat tempatan yang bersedia mengambil alih pemilikan kelab berkenaan.
Tambahnya, segala urusan dijangka akan dimuktamadkan selewat-lewatnya Khamis ini dan diharapkan dengan berita baik itu, segala kemelut dalaman The Bos Gaurus dapat berakhir dengan segera.
"Kami telah menerima rangka akhir perjanjian daripada pihak JR Resources dan kami telah menyenaraikan perkara-perkara dan maklumat-maklumat yang kami perlukan supaya kami boleh memanjangkannya kepada setiausaha syarikat kami," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Fadhirul Shuhaimi.
"Kami menjual Perak FC Sdn Bhd dengan harga RM1 bagi setiap pegangan.
"Jadi, secara keseluruhannya, ia berjumlah RM2,500 sahaja," katanya.
Penyokong Perak FC dilaporkan mengutip dana bagi membantu pasukan itu dan mengulas mengenai perkara berkenaan, Yunus menambah: "Saya fikir ia sesuatu yang amat baik tetapi saya tidak boleh mengambil kredit kerana ia adalah usaha daripada penyokong Perak FC dan sudah pasti kami sebagai pihak pengurusan berbangga dengannya.
"Sebagai CEO dan bagi pihak syarikat saya, kami mahu memohon maaf kepada penyokong, kepada pasukan teknikal dan pemain seandainya anda berasakan kami sebagai individu atau organisasi yang tidak mempedulikan kelab ini.
"Kami mahu semua orang tahu yang Perak FC amat dekat di hati kami, ia sesuatu yang kami miliki, jadi kami akan bertanggungjawab sehabisnya.
"Kami bekerja siang dan malam untuk memastikan Perak FC -- walaupun kami dalam keadaan susah, kami bekerja keras untuk memastikan jika kami mahu melepaskan Perak, kami akan melepaskannya kepada mereka yang mampu untuk memacu Perak sepanjang musim ini," katanya.