Perak desak KBS, MSN segera anjur SUKMA

Amirrul Rabbani
Januari 31, 2022 19:40 MYT
Khairul Shahril berkata, status penganjuran SUKMA yang masih tiada jawapan sejak tertangguh pada tahun 2020 memperlihatkan seolah-olah KBS dan MSN tidak serius dalam isu tersebut. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Kerajaan Negeri Perak mendesak Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Sukan Negara (MSN) agar penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 dapat dilangsungkan segera.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak Khairul Shahril Mohamed berkata ini kerana hampir 500 atlet di negeri ini telah mengorbankan beberapa perkara penting dalam hidup mereka termasuk menangguhkan keputusan menyambung pelajaran demi menyertai temasya sukan terbesar negara itu.
Malah katanya status penganjuran SUKMA yang masih tiada jawapan sejak tertangguh pada tahun 2020 memperlihatkan seolah-olah KBS dan MSN tidak serius dalam isu tersebut.
“Semua pihak tahu bahawa atlet telah melakukan persediaan sejak tahun 2018, bagi menghadapi SUKMA yang sepatutnya berlangsung pada 2020. Akan tetapi tertangguh akibat COVID-19 dan kita memahami perkara yang tidak dapat dielakkan itu.
“Namun, saya berpandangan KSB dan MSN Nasional perlu ada formula atau perancangan yang serius berkaitan dengan pelaksanaan SUKMA. Secara peribadi saya berpandangan mereka tidak serius dalam isu penganjuran sukan ini kerana telah beberapa kali ditunda,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu sidang media di Wisma MSN Perak, di sini pada Isnin.
Selain itu Khairul Shahril meminta agar kesemua 31 acara yang sebelum ini dijadual akan dipertandingkan dalam temasya SUKMA Johor 2020 dapat dikekalkan untuk edisi penganjuran kali ini.
Antara 31 acara sukan berkenaan termasuk sepak takraw, bola jaring, bola keranjang, sukan elektronik (e-sukan), bola tampar dan sebagainnya.
Menurutnya sekiranya tidak dapat dilaksanakan kesemua acara berkenaan, ia hendaklah dibuat pada SUKMA edisi yang akan datang dan bukannya pada edisi kali ini.
“Kalau tidak dapat dijalankan sepenuhnya 16 acara sukan teras dan 15 sukan pilihan, saya berpandangan ia merupakan satu peristiwa malang buat sejarah sukan Malaysia.
“Ini kerana ramai atlet kita telah berkorban dan membuat persediaan, akan tetapi tidak dapat pula bertanding. Ada atlet kita yang sanggup menangguhkan keputusan untuk menyambung pelajaran ke luar negara demi SUKMA,” katanya lagi.
Sementara itu, Khairul Shahril memberitahu sekiranya MSN dan KBS menghadapi kekangan daripada prosedur operasi standard (SOP) ataupun kewangan dari sudut penganjuran SUKMA, Perak bersedia untuk membantu.
Katanya, selaku tuan rumah SUKMA edisi ke-19 pada 2018, Perak mempunyai fasiliti sukan yang terbaik untuk membantu menjayakan penganjuran temasya sukan berkenaan.
Tegas beliau lagi, penganjuran sukan itu amat penting kerana atlet SUKMA merupakan kumpulan teras yang yang berpotensi untuk mewakili negara ke acara-acara sukan antarabangsa pada satu hari nanti.
#KBS #Perak #MSN #SUKMA #khairul shahril mohamed #Kementerian Belia dan Sukan #Sukan Malaysia #COVID-19
;