Perak buru mata penuh di Shah Alam

Astro Arena
April 12, 2019 16:42 MYT
Durakovic sedar laluan sukar menanti pasukan Perak kerana pemain Selangor juga sedang meningkat. - Astro ARENA
PERAK berazam untuk menebus kekecewaan dinafikan mata penuh ketika bertemu PKNS FC dengan mengutip kemenangan ke atas Selangor di Stadium Shah Alam, malam ini.
Ketua jurulatih, Mehmet Durakovic, berkata Perak sepatutnya menang ke atas PKNS FC di Ipoh, Ahad lalu, tetapi malangnya pengadil dan pembantunya gagal mengesan bola yang sudah melepasi garisan gol. Berikutan itu perlawanan berkesudahan 2-2.
"Kami patut dapat mata penuh perlawanan itu tetapi pengadil tidak melakukan tugas dan tanggungjawabnya dengan sempurna.
"Jadi kami akan pastikan tiga mata itu datang melalui perlawanan dengan Selangor, malam ini, " katanya.
Durakovic berkata Perak mampu menurunkan kesebelasan terbaik kerana semua pemain berada dalam keadaan baik.
"Setakat ini, semua pemain boleh bermain malam ini.
"Apapun, saya kena tunggu hingga pada saat akhir kerana apa saja boleh berlaku," tambahnya.
Begitupun, jurulatih itu juga sedar laluan sukar yang menanti anak buahnya kerana Selangor juga sedang meningkat.
"Mereka menang tiga perlawanan terakhir mereka.
"Mereka memiliki pemain tempatan dan import yang bagus.
"Oleh itu, kami perlu di tahap terbaik dan cukup bersedia untuk menghadapi perlawanan ini.
"Kami akan cuba walaupun ia pastinya bukan mudah, " katanya.
#jurulatih #mehmet durakovic #pengadil #Perak #PKNS FC #Selangor #shah alam
;