Perak akan perkenal Dasar Pembangunan Sukan OKU
Amirrul Rabbani
Disember 15, 2021 12:29 MYT
Disember 15, 2021 12:29 MYT
IPOH: Perak akan menjadi negeri pertama yang memperkenalkan Dasar Pembangunan Sukan Orang Kurang Upaya (OKU) Negeri sebagai usaha memperkasakan bidang sukan terhadap golongan berkenaan sehingga ke peringkat kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia negeri, Khairul Shahril Mohamed berkata dasar berkenaan berada di peringkat akhir penggubalan sebelum diusul kepada Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK).
Menurutnya dasar berkenaan digubal dengan usaha sama pejabat portfolionya dengan Majlis Sukan Negeri, Jabatan Belia dan Sukan, Jabatan Pendidikan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Persatuan OKU Perak.
Katanya lagi, dasar berkenaan adalah inisiatif Kerajaan Negeri bagi memastikan kesaksamaan hak, peluang dan kepentingan OKU khususnya dalam bidang sukan lebih terjamin seperti mana yang ditetapkan di bawah Akta Orang Kurang Upaya 2008 dan Dasar Orang Kurang Upaya.
“Kerajaan Perak mengambil inisiatif untuk menggubal satu dasar berkaitan pembangunan sukan OKU supaya hala tuju pembangunan sukan OKU dapat diselaraskan dengan lebih efisien.
“Di samping itu, penggubalan dasar ini dapat memastikan tanggungjawab terhadap pembangunan sukan OKU dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Malah dapat membantu melengkapkan ekosistem pembangunan sukan OKU yang realistik di Perak di samping mengambil kira sukan sebagai landasan bagi menyatupadukan hubungan semua biarpun berlainan bangsa, agama, ideologi dan fahaman politik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Mohamad Noor Dawoo (BN-Selinsing) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Selain itu, Khairul Shahril berkata, terdapat enam strategi yang digariskan dalam Dasar Pembangunan Sukan OKU Negeri Perak.
Kata beliau, pertama, memperkukuhkan struktur pentadbiran atlet para melalui pembahagian atlet mengikut peringkat kategori supaya struktur pentadbiran atlet lebih teratur dan sistematik.
“Strategi kedua pula, memperkasa program pembangunan atlet para di setiap peringkat supaya program pembangunan dapat dilaksanakan secara menyeluruh sehingga ke peringkat akar umbi meliputi segala keperluan yang diperlukan atlet di setiap peringkat.
“Ketiga memantapkan sistem kejurulatihan dan kepegawaian untuk memastikan atlet-atlet para dilatih oleh jurulatih yang bertauliah dan diurus selia oleh pegawai yang berkelayakan.
“Keempat, melaksanakan dan menyertai kejohanan Sukan Para untuk memastikan setiap atlet para mempunyai peluang untuk menyertai kejohanan-kejohanan sukan yang dianjurkan bukan sahaja di peringkat negeri Perak malah sehingga ke peringkat Kebangsaan.
"Inisiatif ini amat penting untuk menilai bakat, potensi dan prestasi atlet para negeri Perak,” katanya.
Bagi strategi kelima pula, Khairul Shahril memberitahu, menyediakan kemudahan dan fasiliti Sukan Para khusus untuk atlet-atlet sukan para menjalani latihan yang lebih kondusif di samping memberi peluang untuk penganjuran acara sukan para dianjurkan di negeri Perak.
Strategi keenam, meningkatkan kerjasama strategik antara agensi supaya setiap agensi sama ada di peringkat negeri mahupun Persekutuan dapat bersama-sama memainkan peranan dan tanggungjawab untuk membangunkan sukan para di negeri Perak.
Jelas Khairul Shahril lagi, kerjasama strategik itu juga akan merangkumi penglibatan Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan pihak swasta bagi mewujudkan satu ekosistem yang lengkap dalam pembangunan sukan OKU.