Penyokong setuju tindakan MFL tidak terima rayuan Singa Utara
Astro Awani
Mac 1, 2019 22:31 MYT
Mac 1, 2019 22:31 MYT
WALAUPUN terkilan dengan keputusan Malaysian Football League (MFL) yang menolak rayuan Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) untuk kembali beraksi dalam saingan Liga Perdana, penyokong-penyokong setia pasukan Perlis tetap bersetuju dengan tindakan yang diambil demi menjaga kebajikan para pemain.
Menurut Pengerusi Singa Utara Dot Net, Norazam Abdul Rashid, memang wujud perasaan sedih dalam kalangan penyokong Singa Utara yang mahu melihat kebangkitan semula pasukan tersebut.
Namun, kebajikan pemain pemain terutama bagi dua hingga tiga bulan mendatang tidak harus dipandang sebelah mata kerana pasti sukar untuk mereka mencari pasukan baharu dalam masa yang suntuk.
"Memang semua rasa agak sedih. Mana-mana kelab penyokong pun rasakannya. Yang 2 hari bulan dibagi macam harapan, (dengan) tengok stadium penuh. Tapi bila lepas empat perlawanan, kita dibatalkan sebab masalah yang berbangkit sejak awal.
“Tapi dari sudut positif, kebajikan pemain dibela, walaupun hakikatnya mereka akan hilang pekerjaan dalam tempoh 3 atau 4 bulan,” ujar Norazam.
Tambah Norazam, kerugian yang paling besar apabila keputusan itu dibuat adalah mengenai pembangunan bola sepak bagi akar umbi.
Menurutnya, itu melibatkan bakat bakat muda negeri Perlis seperti skuad Piala Presiden dan Piala Belia yang mungkin bakal menjadi bintang baru buat negara.
"Ya, sangat merugikan tapi di pihak pengurusan PFA sendiri perlu ambil peluang untuk betulkan keadaan,” ujarnya.
Sementara itu, rata-rata penyokong yang ditemui menzahirkan rasa kecewa namun berharap perkara sebegini menjadi pengajaran yang berguna pada masa hadapan.
Dengan tidak berselindung lagi, mereka menyatakan sokongan terhadap pasukan jiran iaitu pasukan Kedah dalam saingan Liga Malaysia musim ini.