Penyokong Pahang sanggup tidur di hadapan kaunter untuk dapatkan tiket
Bernama
Oktober 30, 2014 00:04 MYT
Oktober 30, 2014 00:04 MYT
Semata-mata untuk tidak melepaskan peluang mendapatkan tiket bagi menyaksikan pasukan kesayangan mereka beraksi menentang pasukan JDT pada Sabtu ini, sekumpulan penyokong Pahang sanggup tidur di hadapan kaunter tiket di Stadium Darul Makmur di sini.
Mereka dilihat mula berkumpul sejak awal 11 malam tadi dan sanggup tidur hanya beralaskan lengan serta tikar dan tidak kurang juga ada yang melelapkan mata di dalam kereta sementara menanti kaunter tiket dibuka pada jam 10 pagi semalam.
Kesemua 40,000 tiket perlawanan akhir yang diperuntukan kepada penyokong Pahang habis dijual dalam tempoh dua jam setengah selepas kaunter penjualan tiket mula dibuka.
Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Pahang (PBNP), Fuzzemi Ibrahim berkata sebanyak lapan kaunter dibuka untuk jualan sebanyak 15,000 tiket.
"Kita juga turut membuka kaunter jualan tiket berkenaan di Stadium Mini Temerloh yang menjual 5,400 tiket manakala selebihnya diagihkan kepada 12 Persatuan Bola Sepak Daerah.
"Selain itu, agihan tiket berkenaan turut disalurkan kepada Pejabat Menteri Besar, kawasan Dewan Undangan Negeri, agensi kerajaan serta penaja-penaja besar," katanya.
Menurutnya, jualan tiket berjalan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini walaupun berlaku sedikit kekecohan apabila ada penyokong yang pengsan akibat berasak-asak ketika hendak
mendapatkan tiket.
Beliau bagi pihak Presiden PBNP Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah turut memohon maaf kepada penyokong yang gagal mendapatkan tiket bagi menyaksikan perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.
Sementara itu, Abdul Majid Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Pak Majid, yang berjalan kaki dari Pahang ke Stadium Shah Alam setelah pasukan itu berjaya muncul sebagai juara Piala Malaysia musim lepas, menjadi antara orang terawal mendapat tiket perlawanan akhir itu.
"Saya bersyukur kerana menjadi orang terawal mendapat tiket apabila kaunter jualan dibuka jam 10 pagi ini selepas tidur di bawah kaunter ini sejak 11.45 malam Rabu.
"Tiada apa yang kami mahukan selain Pahang membawa pulang piala berprestij itu ke negeri ini. Saya yakin Pahang akan menumpaskan JDT 2-1, sekali gus mengulangi pencapaian musim lalu," katanya.
Namun, nasib yang dialami Abu Bakar Omor, 26, berlainan apabila dia pengsan ketika berusaha keluar dari sekumpulan penyokong selepas berjaya mendapatkan tiket.
"Sebelum ini saya biasa selamatkan orang tapi hari ini rakan yang selamatkan saya daripada mengalami kecederaan tetapi bersyukur dapat menyaksikan final Piala Malaysia," kata bekas anggota Jabatan Pertahanan Awam itu.