Penyokong Malaysia bakar semangat Momota

Bernama
Julai 1, 2022 05:00 MYT
Aksi Momota sewaktu menentang pemain Indonesia Shesar Hiren Rhustavito pada perlawanan suku akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 di Axiata Arena Bukit Jalil, 1 Julai 2022. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sokongan dan jeritan penyokong yang memenuhi setiap ruang di Arena Axiata pada Jumaat membakar semangat pemain sensasi Jepun Kento Momota di kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022.
Dia yang turun selaku pilihan kedua, ternyata lebih agresif berbanding sebelumnya apabila mendahului dengan selesa 13-6 ketika berdepan pemain Indonesia Shesar Hiren Rhustavito pada aksi suku akhir semalam.
Namun, keghairahan penonton untuk menyaksikan aksi Momota tidak lama selepas Rhustavito mengalami kecederaan betis sehingga terpaksa menarik diri, sekali gus memberi kemenangan percuma kepada Momota.
Pemain berusia 27 tahun itu dijadual berdepan pemain bukan pilihan dari Thailand Kunlavut Vitidsarn yang mengecewakan pemain China Lu Gaung Zu 15-21, 21-10, 21-17.
Momota ketika ditemui mengakui sokongan padu daripada penonton membakar semangatnya untuk beraksi pada tahap lebih baik.
"Penyokong Malaysia banyak membantu saya, sokongan mereka membakar semangat saya untuk bermain lebih baik.
"Saya harap sokongan ini kekal hingga final, jika saya berjaya melakukannya," katanya.
Menurut Momota, pada awal penyertaannya di Terbuka Malaysia kali ini, beliau kurang yakin dengan prestasi sendiri, namun selepas mengesahkan tempat ke separuh akhir, ia melonjakkan semangatnya untuk beraksi di final.
-- BERNAMA
#Kento Momota #Terbuka Malaysia 2022 #kejohanan badminton #Sokongan dan jeritan penyokong
;