Penyokong labelkan Harimau Muda pembaziran duit

Astro Arena
November 26, 2015 21:30 MYT
Pelbagai reaksi peminat sukan bola sepak negara terhadap keputrusan FAM bubarkan projek Harimau Muda. - Gambar fail
'PEMBAZIRAN duit tanpa hala tuju'. Itu adalah kesimpulan reaksi peminat bola sepak negara apabila Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengambil keputusan membubarkan projek Harimau Muda.
Keputusan itu mencetuskan luahan perasaan di laman media sosial dengan kebanyakannya adalah kritikan pedas yang terarah kepada program pemain pelapis yang ditubuhkan pada tahun 2007.
"Duit habis berjuta-juta tetapi hasilnya tiada," kata seorang peminat bola sepak tempatan, Sukri Ibrahim.
"Baguslah, Harimau Muda tidak berfungsi dengan baik malah hanya jadi pasukan belasahan di Liga Singapura," kata seorang lagi pemerhati sukan bola sepak dengan nama Shazrul Azmi.
Sementara itu, ada juga segelintir individu yang menyifatkan ia satu keputusan yang drastik daripada pihak FAM.
"Jangan lepas begitu sahaja kerana pasukan negeri tidak diberi apa-apa peruntukan tambahan untuk menjalankan program akar umbi. Maka, bagaimana mereka mahu membangunkan dan melahirkan pemain pelabis yang handal?" kata Shamsul Nizam J pula.
"Jasa program HM yang sebenar adalah hanya pusat pengumpulan pemain, jadi pemain lebih rapat dan berlatih lebih lama bersama. Inilah kunci kejayaan pada Sukan SEA 2009 dan AFF 2010," kata Azhari Wahab.
FAM mengambil keputusan membubarkan program diwujudkan sejak 2007 itu dalam Mesyuarat Exco FAM Ke-6 yang dipengerusikan Presiden Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada Selasa.
Menurut Timbalan Presiden FAM Datuk Seri Afandi Hamzah, keputusan itu diambil selepas menerima cadangan Jawatankuasa Bertindak Khas FAM.
#FAM #harimau muda #pembaziran #reaksi netizen
;