Penyokong Harimau Malaya 'mandi hujan batu' di Indonesia
Asyraf Roslan
September 5, 2019 19:27 MYT
September 5, 2019 19:27 MYT
Sebentar lagi, Harimau Malaya akan menentang skuad Garuda dan ia merupakan perlawanan yang sangat dinanti-nantikan oleh semua peminat bola sepak tanah air.
Pasukan negara dijangka berdepan tekanan daripada pasukan Indonesia dan penyokong mereka dalam perjuangan pasukan negara untuk layak menyertai Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023.
Namun, sebelum perlawanan bermula, telah tular beberapa video yang agak kurang menyenangkan.
Video tersebut menunjukkan situasi kumpulan penyokong Ultras Malaya diserang dengan balingan batu ketika ingin menuju masuk ke dalam Gelora (Gelanggang Olah Raga) Bung Karno, Indonesia.
Menurut jurulatih bola sepak Malaysia, Shazwan Wong, insiden dipercayai berlaku sekitar jam 3.30 petang sejurus selepas penyokong Malaysia tiba di stadium itu.
"Kami mula dibaling batu sewaktu memasuki stadium," kata Shazwan.
Ini bukanlah perkara yang kita inginkan meskipun kita sememangnya mengharapkan satu kemenangan buat negara.
Astro AWANI dan rakyat Malaysia mengharapkan semua penyokong yang berada di sana selamat dan menjaga tingkah laku kita sebagai tetamu.
Buat pasukan negara kami doakan anda akan memberikan persembahan permainan yang terbaik.
Buat semua penyokong ingatlah #JanganGaduhGaduh.
#bola sepak
#Garuda
#Harimau Malaysia
#Indonesia
#Malaysia
#Malaysia vs Indonesia
#Piala Dunia
#rakyat Malaysia
#Ultras Malaya