Penyokong buat kecoh, pasukan kena tanggung

Astro Arena
September 19, 2015 00:10 MYT
Jawatankuasa Tatertib membuat keputusan untuk mengguna pakai Artikel 43 apabila pesalahlaku melibatkan pasukan sama. - Gambar Astro ARENA
Sarawak dan Selangor menerima padah apabila terpaksa membayar denda RM 80, 000 dan RM 31, 000 ekoran tindakan penyokong pasukan masing-masing membuat kecoh di stadium.
Sarawak didenda ekoran tindakan penyokong yang telah membakar suar, melontar mercun dan bom asap termasuk merosakkan kenderaan polis ketika aksi Piala Malaysia 2014 diantara Sarawak lwn Perak (30 Ogos 2014), Sarawak lwn Perak (20 Jun 2015) dan aksi Liga Super 2015 lawan Felda United (27 Jun 2015).
Jawatankuasa Tatertib membuat keputusan untuk mengguna pakai Artikel 43 apabila pesalahlaku melibatkan pasukan sama.
Sarawak turut berdepan denda bermain dua perlawanan tanpa penonton di laman sendiri.
Walaubagaimanapun, jawatankuasa memutuskan Sarawak dikenakan hukuman bermain tanpa penonton untuk satu perlawanan sahaja dimana hukuman kali kedua dikenakan sekiranya kesalahan sama berulang (dalam tempoh 6 bulan).
Disamping itu, Selangor dikenakan denda ekoran tindakan penyokong membakar suar dan melontar mercun disamping memapar slogan menghina dan berunsur politik.
The Red Giants didenda RM26, 250 atas kesalahan membakar suar dan melontar mercun manakala tambahan RM 5 ribu kerana mempamerkan slogan menghina.
Walau bagaimanapun, kedua pasukan diberi masa untuk membuat rayuan.
#Piala Malaysia 2014 #The Red Giants