Penyingkiran 'kejam' buat City - Guardiola

Astro Arena
April 18, 2019 08:00 MYT
Pep Guardiola anggap kekalahan kepada Spurs satu yang 'kejam' - Foto Stadium Astro.
Pep Guardiola meratapi kekalahan "kejam" Manchester City, sekali gus tersingkir daripada Liga Juara-Juara kepada Tottenham Hotspur, awal pagi tadi.
City meraih kemenangan 4-3 di laman sendiri dalam aksi timbal balik itu tetapi tersingkir menerusi kelebihan jaringan Spurs di tempat lawan selepas kedua-dua pasukan terikat 4-4.
Jaringan pada minit ke-73 oleh Fernando Llorente memisahkan kedua-dua pasukan di sebalik ia jaringan yang disahkan oleh sistem video bantuan pengadil (VAR) walaupun bola kelihatan terkena tangan penyerang itu.
Tetapi terdapat drama yang berlaku pada penghujung permainan, dengan Raheem Sterling berjaya menyempurnakan hatrik untuk membawa perlawanan ke masa tambahan, namun percubaannya dinafikan VAR kerana berada dalam kedudukan ofsaid.
Pengurus City, Guardiola, berasakan keputusan pengadil menarik balik jaringan Sterling itu terlalu pedih buat pasukannya selepas mereka terpaksa melupakan hasrat untuk menjuarai empat gelaran musim ini.
"Jaringan Spurs ternyata menunjukkan bola terkena tangan," kata Guardiola.
"Sterling pula diberikan ofsaid. Ia sangat kejam, City telah meraikannya selama 30 saat dan menjangkakan kami sudah melangkah ke separuh akhir, kemudian jaringan tersebut ditarik balik. Ia sungguh kejam."
Tottenham akan berdepan Ajax dalam separuh akhir di samping akan bertemu semula City dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu ini.
#Liga Juara-Juara #Manchester City #Pep Guardiola #Tottenham Hotspur #UCL #VAR
;