Penyertaan Rusia di Olimpik 2024 akan diputuskan setahun sebelum kejohanan - Presiden IOC

Bernama
Mac 31, 2023 11:27 MYT
Thomas Bach bercakap pada pembukaan mesyuarat lembaga eksekutif IOC di Lausanne, Switzerland, 28 Mac 2023. (Foto AP)
MOSCOW: Keputusan mengenai penyertaan atlet dari Rusia dan Belarus pada Sukan Olimpik Musim Panas 2024 di Paris dijangka diputuskan setahun sebelum temasya sukan itu bermula.
"Keputusan mengenai penyertaan atlet dengan pasport Rusia atau Belarus akan pasti dibuat dalam tempoh itu," lapor agensi berita TASS Rusia memetik kenyataan Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Thomas Bach pada Khamis.
"Seperti syor yang dibuat, kami mahu memantau dahulu kerana semua tahu bahawa ia merupakan isu yang rumit," kata Bach.
Selepas Tokyo menjadi tuan rumah Olimpik Musim Panas 2020, temasya akan datang bakal berlangsung di Paris pada 2024 dan Los Angeles pada 2028.
Pada pada sesi IOC ke-138 (Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa) di Tokyo pada 2021, Brisbane Australia dipilih sebagai tuan rumah Sukan Olimpik Musim Panas 2032.
Pada 28 Mac lepas, IOC mencadangkan persekutuan antarabangsa membenarkan atlet Rusia dan Belarus bertanding di bawah status neutral bagi acara individu sahaja dengan syarat mereka bukan penyokong operasi khas ketenteraan atau bergabung dengan angkatan tentera atau agensi keselamatan negara.
Sementara itu, Presiden Jawatankuasa Olimpik Rusia Stanislav Pozdnyakov menyifatkan cadangan itu sebagai tidak boleh diterima sama sekali kerana ia akan mencetuskan perpecahan dalam sukan Rusia.
Pada 28 Feb 2022, IOC mengesyorkan persekutuan sukan antarabangsa menghalang atlet dari Rusia dan Belarus mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa berikutan operasi ketenteraan khas Moscow di Ukraine.
Bagaimanapun, pada 25 Jan IOC mengemukakan cadangan untuk membenarkan atlet individu dari Rusia mengambil bahagian dalam kejohanan antarabangsa sebagai atlet neutral dengan syarat mereka tidak menyokong operasi ketenteraan khas Rusia di Ukraine.
-- BERNAMA
#atlet Rusia dan Belarus #Sukan Olimpik Musim Panas 2024 #Thomas Bach #IOC
;