Penyertaan Lions XII musim depan menjadi tanda tanya
Astro Arena
Ogos 21, 2015 12:54 MYT
Ogos 21, 2015 12:54 MYT
Penyertaan pasukan dari seberang tambak Lions XII dalam saingan Liga Malaysia musim depan masih menjadi teka-teki, tanpa ada sebarang kata putus.
Tiada sebarang petanda diberikan oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mengenai kehadiran Lions XII di Liga Malaysia pada 2016 selain berkata masih di peringkat rundingan.
FAM masih mengkaji semua aspek kebaikan dan keburukan penyertaan kelab dari negara jiran itu dengan Tengku Abdullah menyatakan rombakan liga pasti berlaku jika perbincangan MOU menemui jalan buntu.
Sementara itu, Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Afandi Hamzah, merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan Tempatan (JKPT), berkata rundingan akan berlangsung pada September ini di Singapura selepas Kongres Konfederasi Bola Sepak Asean (AFF).
Buat masa ini, khabar dari negara jiran menyatakan FAS sudah mula berbincang lanjutan kontrak musim depan terhadap sebahagian pemain dan itu memberi satu petanda bahawa kemungkinan Lions XII kekal pada saingan Liga Malaysia musim depan.
Lions XII ditubuhkan pada 2011 dan mula beraksi di Liga Malaysia setahun selepas itu dan tentu sekali menjuarai Liga Super pada 2013 dan menjulang trofi Piala FA tahun ini adalah pencapaian terbaik pasukan Singapura ini.