Penyelewengan RM107 juta tidak jejas penganjuran Sukan SEA 2017
Bernama
Mac 21, 2016 14:04 MYT
Mac 21, 2016 14:04 MYT
Penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menjejaskan penganjuran Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur dan beberapa projek pembangunan sukan.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata penyelewengan tersebut tidak membabitkan kos menaik taraf Kompleks Sukan Bukit Jalil bernilai RM1.1 bilion bagi penganjuran Sukan SEA 2017.
"Saya berpendapat ia tidak akan memberi kesan kepada Sukan SEA kerana ini secara khusus berkaitan kelulusan tertentu yang diberi kepada satu daripada agensi.
"Kerja naik taraf Kompleks Sukan Bukit Jalil itu dibuat secara tender terbuka melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS) di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM). Proses perolehan Kompleks Bukit Jalil itu tidak dibuat di peringkat KBS," katanya pada sidang media berhubung isu penyelewengan itu di sini hari ini.
SPRM Jumaat lepas menahan seorang setiausaha bahagian di kementerian itu selepas disyaki terlibat mendalangi satu sindiket menyeleweng dana kerajaan bernilai RM107 juta.
Selain pegawai kanan KBS yang berusia 56 tahun itu, SPRM turut menahan tujuh lelaki dan seorang wanita yang kesemuanya merupakan kontraktor syarika penganjuran acara.
Ditanya sama ada KBS akan mengkaji semula projek dan program di bawah kementerian ekoran kes berkenaan, Khairy berkata kes penyelewengan itu hanya khusus kepada bentuk peruntukan yang tidak melibatkan projek pembangunan setakat ini.
"Projek dan program pembangunan yang tidak melibatkan kelulusan peruntukan yang digunakan dalam kes ini, akan terus berjalan seperti biasa, tetapi kalau pasukan bebas perlu melihat kepada semua prosedur kelulusan KBS, kami sedia untuk bekerjasama dengan pasukan itu," katanya.
#Khairy Jamaluddin
#Penyelewengan dana kerajaan bernilai RM107 juta dalam Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak menjejaskan penganjuran Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur