‘Penyakit dalam sukan Malaysia, tumpu kepada atlet menang sahaja’ - Penganalisis

Irfan Faruqi
Ogos 8, 2024 02:15 MYT
Norbakti berkata, menjadi satu masalah besar apabila tiada usaha untuk mempersiapkan pelapis kepada atlet kebangsaan yang berjaya. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Sukan Malaysia ada satu penyakit yang mana persatuan sukan hanya memberi tumpuan kepada atlet yang menang sahaja.
Penganalisis sukan, Norbakti Alias berkata, menjadi satu masalah besar apabila tiada usaha untuk mempersiapkan pelapis kepada atlet kebangsaan yang berjaya.
“Ada penyakit dalam sukan Malaysia. Apabila satu atlet berjaya, tumpuan akan diberikan kepada dia sahaja. Mereka lupa untuk sediakan pelapis pengganti. Kita tengok apabila (Datuk) Pandelela Rinong tidak boleh bertanding, tidak ada orang yang boleh menggantikan tempatnya.
“Begitu juga berlaku selepas (Datuk) Lee Chong Wei bersara. Terkapai-kapai cari pengganti. Ini kerana persatuan sukan kebangsaan terlalu fokus. Kalau seorang atlet berjaya, itulah modal mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
‘Penyakit dalam sukan Malaysia, tumpu kepada atlet menang sahaja’ - Penganalisis
Tambah Norbakti, kebanyakan ketua persatuan dan pertubuhan sukan yang memberi tumpuan kepada atlet boleh menang sahaja kerana mereka hanya memikirkan karier sendiri dalam persatuan sukan semata-mata.
“Kebanyakan pimpinan sukan ini hanya fikir untuk beri tumpuan kepada satu atlet (berjaya) memandangkan pimpinan ini tidak akan berkhidmat lama dalam satu-satu persatuan.
“Apabila atlet kalah bertanding, mereka tidak peduli soal pembangunan (sukan). Mereka tidak beri tumpuan. Lihat apa yang berlaku selepas (Datuk) Nicole David bersara, lambat penggantinya ada. Hatta, Sivasangari juga ambil masa yang lama untuk capai prestasi yang agak baik. Ini penyakit dalam sukan kebangsaan kita,” ujarnya lagi.
Untuk konteks sekurang-kurang terdapat 43 persatuan sukan kebangsaan yang berdaftar dengan Akademi Kejurulatihan Kebangsaan (AKK), Institut Sukan Negara (ISN).
Agenda AWANI: Misi Emas Olimpik
#Lee Chong Wei #Olimpik #Pandelela Rinong #Persatuan Sukan Kebangsaan