Penunggang negara jangan dibiarkan 'sesat', kata Azlan Shah

Astro Arena
Oktober 21, 2020 06:19 MYT
Azlan Shah (gambar) berpendapat, ada beberapa faktor yang membuat KIP yang pernah mencipta sensasi itu semakin merudum prestasinya. - Foto Astro ARENA
PELUMBA One XOX TKKR SAG, Azlan Shah Kamaruzaman, percaya penunggang juga seperti atlet yang lain, perlukan dorongan dalam membina kekuatan mental.
Nasib pelumba-pelumba negara dalam MotoGP 2021 masih samar, lebih-lebih lagi Khairul Idham Pawi bakal digugurkan oleh Petronas-Yamaha Sepang Racing Team (SRT) bagi saingan Moto2 musim depan.
Pada pandangannya, ada beberapa faktor yang membuat pelumba Perak yang pernah mencipta sensasi itu semakin merudum prestasinya.
"Khairul Idham sudah lama dalam Moto2.
"Kecederaan sebelum ini (mungkin) membuatkan prestasinya kurang menyerlah.
"Tetapi orang yang bertanggungjawab perlu membawa pelumba-pelumba ini untuk kembali ke jalan yang benar," katanya dalam temu bual eksklusif bersama Astro Arena pada Rabu.
BACA: Moto3: Khairul Idham digesa beri komitmen tinggi
BACA: Petronas Yamaha SRT buat analisis isu dihadapi pada GP Aragon
BACA: GP Republik Czech: McPhee di tangga kelima, KIP hanya mampu tempat ke-22
Azlan Shah, yang sedang mengukir nama dalam Kejohanan Perlumbaan Motosikal Asia (ARRC) dan berpengalaman dalam Moto2 dari 2013 hingga 2015, mengakui betapa peritnya berasa 'bersendirian' dalam perjuangannya.
"Khairul Idham pernah mengalami kecederaan teruk, motivasi seseorang pelumba itu juga bergantung kepada mentor atau sesebuah pasukan yang sepatutnya memberi semangat kepada pelumba sepertinya.
"Kadang-kadang penunggang boleh sesat," katanya lagi.
Dalam masa sama, Prinsipal SRT, Datuk Razlan Razali, pada Rabu melabel pemain negara kurang berdaya saing untuk memantapkan prestasi masing-masing di sebalik menempuhi situasi berliku.
Begitupun, Azlan Shah percaya persekitaran yang menawarkan dorongan kuat mampu merangsang kemampuannya.
"Saya setuju, saya sendiri pun ketika dalam MotoGP tiada kekuatan mental, banyak benda yang saya tiada.
"Tetapi pelumba legenda merangkap pengurus pasukan (Honda Team Asia), Tadayuki Okada, ketika itu banyak memotivasikan saya dan gigih berlatih tunggangan bersama saya.
"Orang seperti ini perlu ada dalam MotoGP untuk melatih mental saya.
"KIP perlu diberikan semangat, bukan sahaja untuk membawa motosikal dengan laju tetapi bagi membina kekuatan mentalnya."
#pelumba #One XOX TKKR SAG #Azlan Shah Kamaruzaman #penunggang #atlet #dorongan #Khairul Idham Pawi #Moto2 #SRT #Petronas-Yamaha SRT #Sepang Racing Team #prestasi merudum #kecederaan #motivasi #mentor #semangat #sesat #Razlan Razali #kurang berdaya saing #mental
;