Penjenamaan semula nama MAFA perkasa bola sepak negeri - Nur Azmi
Bernama
November 15, 2022 12:00 MYT
November 15, 2022 12:00 MYT
MELAKA: Persatuan Bola Sepak Melaka (MUSA) akan ditukar kembali kepada nama asal Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) manakala pasukan bola sepak negeri itu dikenali sebagai Melaka FC bagi penjenamaan semula.
Presidennya Datuk Nur Azmi Ahmad berkata langkah itu adalah permulaan persatuan dalam usaha memperkasa dan memulihkan semula pasukan bola sepak negeri yang tersingkir daripada saingan kompetetif Liga Super musim depan.
"Pertukaran nama MAFA kepada nama asal persatuan yang wujud sejak tahun 1924 selain mahu mengembalikan era kegemilangan bola sepak Melaka yang telah melahirkan ramai pemain berkualiti selain legenda bola sepak negara seperti Datuk Soh Chin Ann.
"Perubahan ini juga dilihat akan memberi semangat baharu sukan bola sepak Melaka kerana kita tidak nampak nama MUSA itu satu jenama yang mampu membangun atau menaikkan nama negeri ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran dan Undian Rasmi Gavernor Cup 2022, di Ayer Keroh malam tadi.
Mengulas lanjut Nur Azmi berkata pasukan bola sepak Melaka juga akan bersaing dalam Liga M3 musim depan dengan dikenali sebagai Melaka FC.
Katanya pasukan itu kini menjalankan persiapan untuk saingan di Liga M3 selain membawa misi utama ke Liga Super pada 2024 selain layak beraksi di Piala FA musim depan.
"Memang benar jenama tidak penting, tetapi soal pentadbiran dan pengurusan itu yang perlu diutamakan. Saya percaya jika kualiti pentadbiran kita berjalan lancar, Insya-Allah sasaran untuk Melaka kembali ke Liga Super pada 2024 akan tercapai.
"Pihak kita juga komited dalam isu pembayaran gaji selain membuat ketetapan dengan mewujudkan satu akaun khas untuk memastikan gaji pemain dapat diselesaikan setiap bulan supaya masalah tunggakan gaji tidak berulang," katanya.
Dalam pada itu Nur Azmi berkata walaupun Melaka FC berada dalam saingan bawahan namun pihaknya mementingkan kualiti pemain untuk memastikan pasukan itu memiliki kekuatan setanding pasukan Liga Super dengan menyenaraikan sekurang-kurangnya 10 pemain anak jati Melaka.
"Kita juga kini sedang dalam proses memilih jurulatih baharu dengan menyenarai pendek empat jurulatih iaitu dua jurulatih luar negara dan dua jurulatih tempatan untuk melatih pasukan selain melantik jawatankuasa teknikal.
"Hasrat kami untuk merealisasikan sasaran seterusnya mempersiapkan satu pasukan yang bersedia sekurang-kurangnya Disember ini sebelum saingan Liga M3 membuka tirai Februari tahun depan," katanya.
Katanya Stadium Hang Jebat tetap menjadi venue perlawanan bagi Melaka FC selain semua penyokong akan diberikan peluang menyaksikan perlawanan secara percuma pada peringkat permulaan.
-- BERNAMA