Pengusaha fasiliti sukan perlu kerjasama orang ramai patuhi SOP - Roslin Hashim

Madiha Abdullah
September 9, 2021 17:05 MYT
Apa yang diperlukan ketika ini adalah kerjasama orang ramai bagi memastikan kelonggaran yang diberi kerajaan tidak disalah guna. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tidak ada masalah bagi pengusaha fasiliti sukan dan rekreasi komersial tertutup yang akan kembali beroperasi 10 September ini, untuk mengikuti semua prosedur operasi standard (SOP).
Pengasas dan pemilik, Akademi Badminton Roslin Hashim (RHBC), Roslin Hashim berkata, apa yang lebih diperlukan ketika ini adalah kerjasama orang ramai bagi memastikan kelonggaran yang diberi kerajaan tidak disalah guna.
"Sebelum ini, kami sudah pernah beroperasi dalam pandemik dan semua SOP dititikberatkan. Jadi saya fikir tidak ada masalah untuk kita lakukannya sekali lagi.
"Setakat ini kami sedang menunggu SOP diperjelaskan sebab buat masa ini kami hanya diberitahu yang premis boleh beroperasi.
"Kami tak ada masalah dengan SOP seperti hanya membenarkan mereka yang sudah lengkap divaksin sahaja memasuki premis. Apa sahaja SOP yang ditetapkan kerajaan, akan kami ikut.
"Tetapi orang ramai juga perlu buat perkara yang sama. Kita nak putuskan rantaian jangkitan, tak boleh hanya satu pihak yang ikut SOP.
"Kelonggaran sudah diberi jadi semua orang kena beri kerjasama," katanya ketika muncul dalam Buletin AWANI, pada Khamis.
Tambah Roslin, kesedaran dan rasa tanggungjawab perlu ada dalam setiap individu jika mahu kelangsungan hidup diteruskan dalam fasa endemik.
Beliau juga meluahkan rasa syukur dengan pengumuman kerajaan pada Rabu, berkaitan kelonggaran bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
"Memang sangat lega. Kalau tak silap, sudah lebih lima bulan kami tidak beroperasi jadi pengumuman semalam sangat dialu-alukan.
"Saya sangat berharap semua orang dapat mengikuti semua SOP yang akan diumumkan nanti. Kita kena faham kerajaan buat begitu (pelaksanaan SOP) adalah demi menjaga kesejahteraan semua pihak," ujarnya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelonggaran prosedur operasi standard (SOP) bagi aktiviti sukan, riadah dan rekreasi untuk negeri dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN), berkuat kuasa Jumaat ini.
Ini termasuk membenarkan aktiviti sukan tertutup atau 'indoor', kecuali gimnasium, kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi.
Panggilan Video | Kelonggaran SOP Fasa 1 PPN - Aktiviti sukan
#Roslin Hashim #fasiliti sukan #Pelan Pemulihan Negara #Akademi Badminton Roslin Hashim
;