Pengurusan mantap jaminan kualiti di atas padang - Pemilik dua TRW

Astro Arena
Julai 18, 2021 05:05 MYT
Selepas Kelantan FC, Norizam (kiri) melabur pula ke atas kelab PSPS Riau, yang diakuinya mempunyai bilangan peminat tegar yang ramai. - Foto Astro ARENA
NORIZAM Tukiman percaya tindakannya melebarkan sayap ke kancah bola sepak Indonesia mampu memberi manfaat kepada kedua-dua negara sambil menyifatkan faktor pengurusan adalah kunci kejayaan sebuah pasukan.
Selepas Kelantan FC, ahli perniagaan dan pakar saham dari Johor itu melabur pula ke atas kelab di negara seberang, PSPS Riau, yang diakuinya mempunyai bilangan peminat tegar yang ramai.
"Saya melihat liga Indonesia berpotensi kerana mempunyai peminat dan penyokong yang ramai.
"Mereka meminati liga tempatan 10 kali lebih gila daripada EPL (Liga Perdana Inggeris).
"Saya nampak MFL (Liga Bolasepak Malaysia) dan FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) banyak membuat penambahbaikan, di Indonesia juga buat perkara yang sama.
"Saya rasa selepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini, bola sepak Malaysia menuju ke 2025 dalam keadaan yang baik," katanya dalam Nadi Weekend malam tadi.
Sumber Facebook trwkelantanfc
Menurutnya lagi: "Hari ini orang Riau dah kenal Kelantan FC.
"Saya memang ada perancangan perpindahan pemain. Kelantan telah pun mempunyai seorang pemain kebangsaan Indonesia, Natanael Siringo Ringo.
"Terdapat pemain kebangsaan Indonesia yang bermain untuk PSPS, saya nak lihat peluang dalam perpindahan pemain ini untuk menguatkan kedua-dua pasukan.
"Apabila kami ada sumber yang besar -- kumpulan pemain dan dari akar umbi yang ramai -- saya rasa boleh digabungkan untuk kebaikan kedua-dua kelab."
Sumber Facebook zamsaham
Walaupun mempunyai sumber peminat yang kukuh, 'Zamburger' amat menitikberatkan aspek pengurusan sebelum memiliki kualiti di atas padang.
"Saya pesan kepada kedua-dua pasukan supaya yang pertama jagalah sistem (kerana boleh menjadi dorongan) permainan di atas padang.
"Kalau pengurusan itu betul, kami pasti boleh menang. (Faktor) pengurusan itu membawa sampai ke padang, ia saling melengkapi," katanya lagi.
#Norizam Tukiman #FAM #Indonesia #bola sepak #Malaysia #perintah kawalan pergerakan #PKP #Zamburger #Kelantan FC #MFL #Riau #PSPS Riau #ahli perniagaan #pakar saham #pengurusan #perpindahan #sumber #The Red Warriors #TRW