Pengurus buruan bukan lagi reputasi Pochettino

Astro Arena
Jun 14, 2022 11:21 MYT
Menurut penulis, Pochettino bukan calon terbaik untuk mengendalikan pasukan seperti PSG yang dipenuhi dengan ego tinggi melangit. - Foto Astro ARENA
SEPERTI yang telah lama dijangka, kegagalan Paris Saint-Germain (PSG) untuk mara lebih jauh dalam Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim ini menyaksikan perjalanan pengurus mereka, Mauricio Pochettino, terhenti.
Sungguhpun pemecatannya bakal meninggalkan satu luka yang mendalam, Pochettino seharusnya berbangga dengan pencapaiannya yang merangkumi juara Ligue 1, pemenang Piala Perancis serta pemenang Piala Super Perancis.
Harus diingatkan juga, biarpun perlawanan menentang Real Madrid musim ini pastinya sukar dilupakan, kekalahan di peringkat 16 terakhir itu adalah perjalanan paling jauh pernah PSG lalui dalam UCL sepanjang sejarah mereka.
Pemecatan beliau disandarkan atas alasan gagal menyerlahkan sepenuhnya satu pasukan yang menyenaraikan tiga penyerang terbaik generasi ini -- siapa lagi jika bukan Kylian Mbappe, Neymar dan Lionel Messi -- dan membentuk mereka menjadi pasukan yang mendominasi kancah Eropah, bukan sekadar 'juara kampung' di Perancis semata-mata.
Hakikatnya, seperti yang telah dibicarakan berkali-kali sebelum ini, Pochettino bukanlah calon terbaik untuk mengendalikan pasukan seperti PSG yang dipenuhi dengan ego tinggi melangit.
Kepakaran beliau adalah membawa perubahan dan kemajuan kepada pasukan yang bersedia untuk mendengar segala arahan dan cadangannya, maka harus destinasi beliau yang berikutnya dipilih sebaik-baiknya.
Destinasi itu hampir pasti untuk pulang ke Liga Perdana Inggeris, di mana beliau telah membuktikan keupayaannya sewaktu bersama Tottenham dan Southampton sebelum ini.
Tambahan pula, ahli keluarga terdekat Pochettino, isteri dan anak lelakinya, dilaporkan tinggal di London, dan keinginan untuk kembali bersatu dengan mereka pasti mengatasi segala-galanya.
Satu masalah utama yang bakal membelenggu Pochettino ketika ini adalah reputasinya yang tercalar.
Menurut laporan beberapa sumber media, salah satu punca Manchester United memilih Erik ten Hag sebagai pengurus dan bukannya Pochettino adalah kerana beliau dianggap tidak lagi cemerlang seperti dahulu dan bakal menghadapi masalah untuk mengendalikan nama-nama besar seperti Cristiano Ronaldo.
Masalah kedua pula adalah kelab manakah yang bakal mendambakan khidmat Pochettino pada musim berikutnya?
Seharusnya kekuatan Pochettino bersesuaian dengan kelab yang sedang dalam misi untuk membangun dan berazam menjadi nama besar pada tahun-tahun yang mendatang.
Kelab yang paling menepati kriteria berkenaan pada masa ini adalah Newcastle United, namun pengurus mereka, Eddie Howe, telah menunjukkan pencapaian yang baik musim ini dan peluang untuk pihak pengurusan The Magpies mengambil risiko dengan Pochettino tidaklah besar.
Mungkin Aston Villa, di mana pengurus mereka, Steven Gerrard, diberikan sokongan penuh tetapi tidak begitu menyerlah setakat ini, boleh menjadi satu lagi pilihan.
Jika dilihat di luar England, peluang untuk menjadi pengurus pasukan kebangsaan Argentina, negara kelahiran Pochettino, mungkin terbuka jika pengurus waktu ini, Lionel Scaloni, gagal mencatatkan keputusan cemerlang dalam Piala Dunia di Qatar nanti.
Hala tuju Pochettino sememangnya belum jelas buat waktu ini, namun menurut akhbar Marca, beliau bakal menerima pampasan sebanyak £12.8 juta (RM69 juta) daripada PSG, dengan itu beliau lebih daripada mampu untuk berehat seketika sambil mengintai peluang terbaik yang bakal mendatang.
#Mauricio Pochettino #PSG #UCL #Real Madrid
;