Pengurus Besar Perak FC umum letak jawatan berkuat kuasa 1 Jan ini

Bernama
Disember 23, 2024 18:54 MYT
Pengurus Besar Perak FC Neow Choo Seong mengumumkan peletakan jawatan dalam pasukan itu berkuat kuasa 1 Jan 2025. - Gambar fail/BERNAMA
IPOH: Pengurus Besar Perak FC Neow Choo Seong mengumumkan peletakan jawatan dalam pasukan itu berkuat kuasa 1 Jan 2025.
Beliau berkata sepanjang diberi kepercayaan menyandang jawatan tersebut ia telah memberi ruang dan peluang kepadanya untuk lebih memahami isu serta masalah industri bola sepak tempatan dengan lebih dekat.
"Dengan berat hati ingin saya mengumumkan bahawa saya tidak berhasrat untuk melanjutkan perkhidmatan selaku Pengurus Besar dan akan turut melepaskan jawatan Pengarah bersama Perak Football Club berkuat kuasa tarikh yang sama.
"Saya akan sentiasa mendoakan yang terbaik dan bersama dengan penyokong serta pasukan Perak FC. Mungkin selepas ini lebih tenang untuk saya menonton setiap perlawanan membabitkan pasukan Perak FC dari tempat penyokong dan bersama dengan penyokong," katanya menerusi hantaran di laman Facebook hari ini.
Neow berkata sejak awal pembabitan bersama Perak FC pada 2023, tanggungjawab dan fokus ketika itu lebih tertumpu kepada pembangunan bakat muda di peringkat akar umbi.
Sehubungan itu, beliau berkata pelbagai program peringkat akar umbi telah dilaksanakan seperti Pusat Latihan Daerah (DTC), 'Grassroots Playday Festival', Piala Cheetah dan Piala XOX.
"Sebagai contoh, pada awal tahun ini kita telah menubuhkan Akademi Bola Sepak Perak FC untuk melatih bakat muda di peringkat umur bawah 15 tahun.
"Mereka telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan hingga muncul juara kategori 'Plate' dalam Perlawanan Jemputan Antarabangsa Bawah 12 Tahun baru-baru ini," katanya.
Beliau berkata kejayaan itu juga hasil kesungguhan pemain sendiri dan modul latihan secara terancang oleh Pengarah Teknikal Perak FC Raja Azlan Raja So'ib serta barisan jurulatih yang banyak berkorban masa dan tenaga.
Neow berkata beliau optimis Perak mempunyai ramai bakat muda serta berharap pengurusan Perak FC akan terus memberi kepercayaan dan peluang kepada bakat muda yang dilahirkan.
Pada 31 Julai lepas, Ketua Pegawai Eksekutif Perak FC Bobie Farid Shamsudin membuat kenyataan mengejutkan di laman Facebook apabila mengumumkan peletakan jawatan daripada pasukan ekoran kekecewaan terhadap sukan bola sepak.
-- BERNAMA
#Pengurus Besar Perak FC #Neow Choo Seong #letak jawatan #bola sepak
;