Penglibatan rakyat Malaysia dalam sukan masih sederhana - KBS

Bernama
Jun 24, 2021 22:29 MYT
Hanya 66.1 peratus daripada populasi rakyat Malaysia bergiat aktif dalam bidang sukan, menurut hasil dapatan kajian indeks budaya sukan pada 2019. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Hanya 66.1 peratus daripada populasi rakyat Malaysia bergiat aktif dalam bidang sukan, menurut hasil dapatan kajian indeks budaya sukan pada 2019.
Ketua Setiausaha Kementerian Belia dan Sukan Datuk M Noor Azman Taib menyifatkan hasil skor kajian itu menunjukkan tahap keterlibatan rakyat Malaysia dalam bidang sukan masih berada pada tahap sederhana.
Beliau berkata antara faktor utama mengekang rakyat mempratikkan budaya sukan dalam gaya hidup mereka seperti disenaraikan dalam kajian berkenaan adalah kekurangan fasiliti sukan awam, cuaca dan kekangan masa.
"Kami akan perhalusi secara bersama untuk membantu dan meningkatkan penyediaan kemudahan dalam kalangan masyarakat bagi membantu negara mencapai status negara bersukan," katanya dalam sesi webinar Sukan Untuk Semua Transformasi Ke Arah Komuniti Yang Aktif dan Cergas' anjuran Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) hari ini.
M Noor Azman pada masa sama turut menzahirkan kebimbangan pandemik COVID-19 yang sedang melanda dunia ketika ini secara tidak langsung membataskan aktiviti sukan dan ia sememangnya boleh mempengaruhi indeks budaya sukan negara pada masa akan datang.
Sehubungan itu, beliau berkata KBS berharap satu model sukan baharu melibatkan input daripada pihak berkepentingan dan badan antarabangsa akan dapat membantu negara mencorakkan budaya sukan seterusnya menerapkan nilai gaya hidup sihat dalam kalangan seluruh masyarakat dapat direalisasikan.
Katanya kementerian tidak boleh mengamalkan sikap 'mereka lebih mengetahui segala-galanya' sebaliknya memerlukan input daripada pihak berkepentingan untuk menggarap perancangan menyeluruh bagi menjamin kelestarian sukan tanah air.
Sementara itu, Naib Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) dan Timbalan Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) Prof Datuk Dr S. Shamala menegaskan komuniti sukan perlu sentiasa melakukan inovasi strategi bagi menjadikan sukan sebagai keutamaan dalam spektrum kehidupan.
Shamala mengetengahkan beberapa cadangan untuk memastikan sukan sememangnya untuk semua seperti melibatkan orang ramai dalam kempen, memperkasakan wanita dan meluaskan horizon di peringkat akar umbi.
"Sebagai contoh, program pembangunan komuniti di peringkat akar umbi mesti memfokuskan bukan hanya sukan, tetapi kemahiran insaniah lain seperti komunikasi, bahasa, pembinaan pasukan, psikologi dan pemakanan. Saya percaya ini akan membantu anak-anak menjadi serba boleh," katanya.
Sementara itu, Ketua Pengarah JBSN Datuk Wasitah Mohd Yusof dalam satu sesi libat urus Visi Sukan Negara 2030 peringkat Kuala Lumpur, berkata prestasi sukan negara termasuk atlet akan mencerminkan impak pembudayaan sukan dalam kalangan masyarakat itu sendiri.
Katanya, semua pihak perlu berganding bahu dalam menyediakan asas serta sokongan kukuh dalam aspek pembudayaan sukan seterusnya membantu lebih ramai atlet mencatat kejayaan di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA
#sukan #rakyat Malaysia #KBS #Kementerian Belia dan Sukan #sederhana #COVID-19
;