Pengguguran acara di Sukma jejas usaha lahirkan atlet pelapis - Shahidan
Bernama
Ogos 19, 2022 19:54 MYT
Ogos 19, 2022 19:54 MYT
KUALA LUMPUR: Keputusan menggugurkan beberapa acara sukan pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur, bulan depan, bakal memberikan kesan terhadap usaha melahirkan atlet pelapis negara.
Presiden Persekutuan Renang Malaysia (MS), Datuk Seri Shahidan Kassim, berkata Sukma sebagai medan mengasah bakat sebaliknya akan menutup ruang pembangunan sukan terlibat sekiranya tindakan pengguguran acara itu dikekalkan.
"Ini merupakan masa terbaik untuk kita memilih atlet yang bagus. Jika tidak dipertandingkan akan mendatangkan kerugian kepada atlet yang telah membuat persiapan rapi," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
Mengulas lanjut, Shahidan, yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, berkata sukan terjun misalnya amat memerlukan muka baharu bagi meneruskan kesinambungan pencapaian memberangsangkan badan induk tersebut di peringkat antarabangsa.
"Sukan terjun kita nak pilih pelapis. Kita cukup susah nak cari pelapis sekarang dan kalau tidak dipertandingkan macam mana nak cari (pelapis)?," katanya.
Shahidan pada masa sama memaklumkan akan mengadakan pertemuan bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, bagi membincangkan perkara tersebut.
Baru-baru ini, media melaporkan terdapat beberapa acara bagi sukan olahraga dan terjun digugurkan daripada Sukma berikutan penyertaan negeri yang tidak menggalakkan.
Semalam, Majlis Sukan Negara (MSN) memaklumkan pengguguran acara pada Sukma itu tidak dapat dielakkan kerana jumlah minimum enam negeri tidak dapat dipenuhi pada temasya sukan tersebut yang dijadual dari 16 hingga 24 Sept depan.
Ketua Pengarah MSN, Datuk Ahmad Shapawi Ismail, berkata perkara tersebut dapat dielakkan jika negeri-negeri yang telah melakukan pendaftaran awal tidak bertindak menarik diri pada saat akhir sebelum tarikh pendaftaran ditutup.
-- BERNAMA