Penggantungan Mickey perlu jadi pengajaran
Bernama
Julai 28, 2023 08:10 MYT
Julai 28, 2023 08:10 MYT
KUALA LUMPUR: Hukuman penggantungan pemain sayap sensasi Selangor FC Mohamad Faisal Abdul Halim wajar menjadi pengajaran kepada semua pihak terutama pemain profesional dalam membuat sebarang kenyataan.
Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) Mohd Safee Sali berkata pemain profesional perlu menggunakan platform media secara bijak dan berhemah, sekali gus menuntut etika berdepan media diberi penekanan dalam proses pembangunan pemain di negara ini.
"Sebenarnya bagus juga apa yang berlaku, ini membuka mata semua pihak dan pemain sendiri macam mana nak menghadapi media.
"Dalam bola sepak sebagai seorang pemain profesional bukan sekadar bermain tetapi untuk (juga) bercakap dengan media dan mengeluarkan kenyataan di media sosial mesti ada pendidikan. Perkara ini perlu ada dalam sistem pembangunan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, pada Khamis.
Pada Rabu, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengumumkan Mohamad Faisal yang lebih dikenali sebagai Mickey dikenakan hukuman penggantungan selama sebulan oleh Jawatankuasa Tatatertib FAM.
Pemain penting skuad Harimau Malaya berusia 25 tahun itu didapati melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM (Kenyataan Akhbar) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan Kepada Media) menerusi kenyataannya ketika sesi temu ramah media selepas aksi Liga Super menentang Sabah FC di Stadium Likas, Kota Kinabalu 27 April lepas.
Mengikut keputusan, Mickey digantung empat bulan (25 Julai ini hingga 21 Nov), namun beliau hanya dikenakan penggantungan selama sebulan (25 Julai hingga 23 Ogos) dengan penggantungan tiga bulan seterusnya ditangguhkan, tertakluk kepada kelakukan baik selama 12 bulan bermula 24 Ogos.
Dalam pada itu, Mohd Safee yang merupakan bekas pemain kebangsaan berkata pemain perlu akur dengan hukuman dikenakan sekiranya didapati melanggar peraturan, selain percaya ia akan memberi pengajaran berguna kepada pemain terbabit.
"Saya pernah digantung tapi bukan sebab keluarkan kenyataan di media, kerana tingkah laku tidak baik ke atas pengadil dan saya digantung selama sebulan. Bagi saya kita perlu hormat undang-undang, apa yang berlaku beri pengajaran kepada saya dan saya percaya Mohamad Faisal juga," katanya.
Sementara itu, legenda negara Datuk Jamal Nasir mengingatkan para pemain supaya lebih berhati-hati dalam mengeluarkan sebarang kenyataan dan berharap penggantungan Mickey menjadi suatu peringatan.
Bekas pemain pertahanan skuad kebangsaan berusia 68 tahun itu berkata sebarang penggantungan pemain akan memberi impak bukan sahaja kepada pemain itu, malah perjalanan pasukan dalam mengharungi musim yang mencabar turut terencat.
"Jadikan hukuman ke atas Mohamad Faisal sebagai contoh untuk lihat relevan ataupun tidak untuk beri komen ke atas sesuatu perkara seperti keputusan pengadil dan sebagainya. Bila kita kalah kita kena terima kekalahan, kita perlu muhasabah diri sendiri dan pasukan.
"Pemain kena fikir impak tindakannya kepada pasukan, kalau dia tahu dia pemain yang regular (sering diturunkan dalam perlawanan) dan memang pemain utama pasukan, anda patut lebih bijak daripada yang lain," katanya.
Mengulas lanjut, Jamal yang juga Ahli Jawatankuasa Teknikal FAM berkata badan induk itu boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar undang-undang, selain hukuman penggantungan merupakan tindakan lazim ke atas mereka yang bersalah.
"Bukan pemain saja, jurulatih dan pengurus pun pernah kena gantung. Pemain atau mana-mana individu perlu lapor kepada persatuan atau kelab supaya kelab beri surat bertulis kepada FAM, kemudian FAM akan ambil tindakan, itu yang dibuat selama ini," katanya.
-- BERNAMA