Pengganti velodrom Cheras masih belum dibina

Astro Arena
Julai 19, 2015 07:00 MYT
Shabery pada 2012 mengumumkan pembinaan velodrom baru bagi menggantikan velodrom Cheras yang akan dirobohkan. - Gambar Fail
Sudah tiga tahun berlalu, namun velodrom baru menggantikan velodrom Cheras masih belum dibina hingga mengundang persoalan kepada bekas pelumba trek negara, M. Kumaresan mengenai janji yang sudah ditaburkan.
Bekas Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pada 2012 mengumumkan pembinaan velodrom baru bagi menggantikan velodrom Cheras yang akan dirobohkan.
Namun selepas tiga tahun berlalu, kerja-kerja pembinaan masih belum dijalankan.
Walaupun tertangguh, Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia berjaya mendapatkan hak penganjuran Piala Trek yang akan berlangsung bulan depan, dan ia akan menjadi kejohanan terakhir di velodrom tersebut.
Persoalannya, bila velodrom baru itu akan dibina.
"Saya telah menghadiri beberapa mesyuarat mengenai pembinaan velodrom baru bagi menggantikan velodrom yang sedia ada di Cheras," ujar M. Kumaresan.
"Namun masih tiada lagi perkembangan baru mengenai menaik taraf velodrom dan saya berharap pembinaan velodrom baru ini akan disiapkan secepat mungkin.
Velodrom tertutup di Nilai Negeri Sembilan masih lagi dalam pembinaan menjelang temasya Sukan SEA 2017 nanti.
#M.Kumaresan #Negeri Sembilan #Shabery Cheek #Sukan SEA 2017 #velodrom
;