Pengerusi baharu PSM dijangka diumum esok - Iliyas Jamil
Bernama
Mac 19, 2025 17:30 MYT
Mac 19, 2025 17:30 MYT
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium Malaysia Iliyas Jamil bercakap pada sidang media pengumuman kadar parkir baharu Kuala Lumpur Sports City di Stadium Bukit Jalil hari ini. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR: Keputusan siapa yang akan menyandang jawatan sebagai Pengerusi Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) baharu bagi menggantikan Datuk Hans Isaac dijangka akan diketahui esok.
Pekara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif PSM Iliyas Jamil yang memaklumkan segala keputusan pemilihan Ahli Lembaga Pengarah PSM yang baharu termasuk jawatan pengerusi akan dibuat oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh.
Beliau berkata tempoh perkhidmatan ahli lembaga pengarah bagi sesi 2023-2025 akan tamat pada esok manakala yang baharu akan dilantik bagi penggal 2025-2027.
"Mengikut Akta PSM (pelantikan ahli lembaga pengarah) adalah mengikut penggal, satu kumpulan seramai 16 orang akan dilantik pada masa dan tarikh yang sama, dan tamat pada masa yang sama.
"Penggal kali ini akan tamat esok, dan secara rasmi kita akan tunggu daripada KBS kerana menteri yang akan melantik mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media PSM di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini hari ini.
Isnin lepas, Hans menerusi Instagram mengumumkan beliau tidak lagi memegang jawatan Pengerusi PSM, yang disandangnya sejak dua tahun lepas.
Sebagai rekod, sejak Hans memegang jawatan sebagai Pengerusi PSM, beliau berjaya memastikan entiti itu berpendapatan tinggi sebanyak RM10.64 juta pada 2024.
Stadium Nasional Bukit Jalil berhasil menyumbang RM1.8 juta daripada pendapatan yang dijana menerusi aktiviti bukan sukan seperti penganjuran konsert.
-- BERNAMA