Penganjuran SUKMA: Kelantan tidak pernah dianaktiri - Khairy

Astro Awani
Februari 20, 2022 08:12 MYT
Khairy menganggap dakwaan yang dibuat oleh Syed Saddiq seolah-olah Menteri Belia dan Sukan sebelumnya menafikan hak Kelantan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menafikan dakwaan bahawa Kelantan dianaktirikan daripada menjadi penganjur Sukan Malaysia (SUKMA) sebelum Pakatan Harapan mentadbir negara.
Mengulas kenyataan Presiden Ikatan Demoktarik Malaysia (MUDA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Khairy menegaskan Kelantan pernah ditawarkan sebagai penganjur temasya berkenaan namun kerajaan pimpinan Pas itu tidak bersedia.
"Sewaktu saya menyandang portfolio Menteri Belia dan Sukan dari 2013 hingga 2018, Kelantan pernah ditawarkan untuk menjadi penganjur temasya berkenaan melalui beberapa Mesyuarat Jawatankuasa Tertinggi SUKMA selepas SUKMA Perlis 2014 berjaya dianjurkan dengan cemerlang.
"Mengikut penggiliran negeri-negeri penganjur, selepas SUKMA Sarawak 2016, hak penggiliran penganjuran akan kembali ke negeri-negeri di Pantau Timur Semenanjung Malaysia dan Kelantan yang belum pernah menganjurkan Sukan Malaysia merupakan pilihan.
"Namun, kerajaan Kelantan ketika itu tidak bersedia untuk menganjurkannya atas beberapa kekangan. Malahan, kita juga semasa membuat keputusan SUKMA 2018 kepada Perak dan SUKMA 2020 kepada Johor turut mengalu-alukan agar Kelantan mempertimbangkan untuk menjadi tuan rumah SUKMA 2022 supaya Sukan Malaysia ini dapat dibawa kepada rakyat negeri Kelantan," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Kenyataan itu dibuat selepas Syed Saddiq memuat naik video di laman media sosial Tik Tok mendakwa ketika menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan, dia mengembalikan hak penganjuran SUKMA kepada Kelantan dengan peruntukan lebih RM200 juta.
Khairy menganggap dakwaan yang dibuat oleh Syed Saddiq seolah-olah Menteri Belia dan Sukan sebelumnya menafikan hak Kelantan.
#Sukan Malaysia #SUKMA #Khairy Jamaluddin #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #Kementerian Belia dan Sukan #Kelantan