Penganjuran acara sukan di Langkawi pacu pembangunan ekonomi - Tun Mahathir

Bernama
April 5, 2019 05:17 MYT
Tun Dr Mahathir mencetuskan idea penganjuran acara perlumbaan basikal yang berprestij di Asia itu di Langkawi pada 1993. - Gambar fail
Penganjuran beberapa acara sukan antarabangsa termasuk Le Tour de Langkawi (LTdL) di Pulau Langkawi memberikan sumbangan positif kepada pembangunan ekonomi Langkawi dan Malaysia secara umum, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tun Dr Mahathir, yang mencetuskan idea penganjuran acara perlumbaan basikal yang berprestij di Asia itu pada 1993, berkata pemilihan Langkawi sebagai salah satu laluan dalam edisi tahun ini, akan memperkenalkan keindahan dan keunikan Malaysia dan Langkawi kepada dunia, selain menjadi hab bagi pelancongan sukan.
Langkawi akan menjadi tuan rumah pusingan akhir dan peringkat akhir (peringkat lapan) LTdL 2019 yang bermula esok hingga 13 April.
"Hari ini, harapan, impian atau cita-cita ini menjadi kenyataan. Tahun ini sahaja, Langkawi menjadi tuan rumah kepada pelbagai acara sukan antarabangsa - ragbi, kapal layar, bola tampar pantai, perlumbaan bot naga, tenis dan maraton.
"Dan ini adalah acara tahunan yang kembali ke Langkawi selama bertahun-tahun, membawa bersama bukan sahaja peserta yangt bersaing tetapi penonton yang semuanya menjadi pelancong akhirnya," kata Dr Mahathir dalam ucapannya pada majlis memperkenalkan pasukan-pasukan LTdL 2019 di Esplanade Suria KLCC, di sini, pada Jumaat.
Turut hadir isteri perdana menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Dalam hubungan ini, Tun Dr Mahathir berkata kerajaan boleh menjimatkan kos pengiklanan berjuta-juta ringgit atau promosi lain melalui pelepasan peserta acara LTdL 2019, esok, yang akan menampilkan Menara Berkembar Petronas dan juga akan disiarkan langsung kepada hampir 400 juta penonton, termasuk melalui platform dalam talian.
"Saya percaya bahawa penganjur, selain mengambil kira keperluan teknikal standard, telah memilih laluan yang indah dan ikonik yang akan menjadikan perlumbaan menarik dan menyeronokkan untuk ditonton," katanya.
Perdana Menteri juga percaya pemilihan laluan Genting Highlands bagi peringkat yang dianggap "Queen Stage" LTdL, dengan pelumba mengharungi cabaran alam semula jadi dengan keperitan pendakian curam ke puncak, akan memperkenalkan lagi kawasan itu sebagai salah satu destinasi percutian utama Malaysia di rantau ini .
Dr Mahathir menambah LTdL bukan sekadar perlumbaan, tetapi ia merupakan platform untuk rakyat Malaysia bersatu-padu sebagai sebuah negara dan mengetepikan perbezaan ideologi, latar belakang atau kaum.
"Kita mesti bersatu-padu jika kita mahu membawa negara ke peringkat seterusnya dan menerusi sukan yang melonjakan keghairahan dan keterujaan - perpaduan pasti dapat diteruskan dan dipromosikan," katanya.
LTdL 2019 yang bertemakan 'Sports Unite, Cycling Contributes' akan menampilkan lapan peringkat perlumbaan merangkumi jarak 1,225.8 kilometer.
-- BERNAMA
#acara sukan #Destinasi pelancongan #ekonomi #keindahan malaysia #Le Tour de Langkawi #LTdL #Mahathir Mohamad #Malaysia #pulau langkawi #sukan
;