Pengadil kebangsaan dicabar bukti kewibawaan
Bernama
Oktober 24, 2020 16:04 MYT
Oktober 24, 2020 16:04 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas pengadil elit Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan kebangsaan Subkhiddin Mohd Salleh mencabar barisan pengadil tempatan menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab supaya kewibawaan mereka di atas padang tidak dipersoalkan.
Menjelang saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula awal bulan depan, Subkhiddin, yang merupakan tenaga pengajar bahagian teknikal pengadil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), menggalakkan setiap pengadil kebangsaan membuat persediaan rapi dari segi mental dan fizikal.
Subkhiddin, 53, berkata persediaan dari segi pemahaman mengenai bola sepak dan keupayaan membaca perlawanan dapat mengelak seseorang pengadil daripada membuat keputusan meragukan sehingga gagal mengawal perlawanan dengan baik.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) itu berkata pengadil yang tidak bersedia akan berasa tertekan ketika menjalankan tugas yang turut berpotensi mempengaruhi keputusannya di atas padang.
"Pengadil kalau tidak bersedia, dia akan menjadi seperti yo-yo, sentiasa susah hati memikirkan apa yang perlu dibuat dalam sesuatu perlawanan itu," katanya kepada Bernama.
"Pengadil perlu ada pengetahuan tentang perlawanan yang ditugaskan, gaya permainan kedua-dua pasukan, kedudukan semasa, rekod perlawanan. Apabila semua input berada dalam genggaman baru boleh imbangi pengadilan dengan baik," tambah Subkhiddin.
Menyentuh mengenai keupayaan membaca perlawanan, beliau berkata pengadil harus bijak menjangkakan sesuatu insiden berdasarkan intensiti perlawanan ketika itu, sambil menekankan kedudukan di atas padang memainkan peranan penting dalam membantu pengadil membuat sebarang keputusan.
Jelas beliau, pengadil sering kali tersilap membuat keputusan apabila tidak dapat melihat kejadian dengan jelas akibat gagal berada di kedudukan yang tepat ketika sesuatu insiden berlaku dalam perlawanan tersebut.
"Pengadil perlu selalu berada hampir di kawasan yang dijangkakan kerana mereka akan lebih berada dalam keadaan tenang dan bersedia untuk membuat sesuatu keputusan. Jika pengadil asyik sampai selepas insiden berlaku, mereka tidak nampak apa proses tersebut," katanya.
Pada masa sama, Subkhiddin turut menggalakkan pengadil kebangsaan menjadi lebih kreatif dengan memperbanyakkan menonton perlawanan di Internet sebagai alternatif kepada kekangan dihadapi dalam membuat persediaan susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) pada masa ini.
Di Malaysia, kemuncak kepada ketidakpuasan hati peminat terhadap mutu pengadilan tempatan dalam beberapa tahun kebelakangan memaksa FAM beralih menggunakan khidmat pengadil profesional dari Jepun bagi mengadili aksi final Piala FA musim lepas.
Namun, kesalahan serta kecuaian dalam membuat keputusan melibatkan beberapa aksi berprofil tinggi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini, menyaksikan mutu pengadilan tempatan masih pada tahap membimbangkan.
Enggan meletakkan sepenuhnya kesalahan di bahu pengadil kebangsaan, Subkhiddin mengakui kebanyakan pengadil kebangsaan bukan berstatus profesional dan mempunyai pendapatan tetap, sebaliknya tugasan mengadili perlawanan adalah pekerjaan sambilan.
"Jawatankuasa Pengadil FAM tidak boleh lepas tangan dan perlu bawa masalah pengadil ini. Walaupun mereka tidak dibayar secara profesional, bantulah mereka untuk jadi lebih profesional kerana mereka tidak fikir pasal penat atau masalah bayaran sebaliknya hanya fikiran tertumpu pada perlawanan.
"Ia salah satu cara untuk bantu pengadil lebih fokus menjelang tugasan mereka, kalau dia datang ke perlawanan dengan masalah, dia akan hilang konsentrasi," tegas Subkhiddin.
Bagi menjaga kualiti mutu pengadilan tempatan, Jawatankuasa Pengadil FAM baru-baru ini menggantung tugas empat pengadil serta empat lagi diberikan amaran keras berikutan prestasi tidak konsisten mengadili saingan Liga-M musim ini.
-- BERNAMA
#subkhiddin mohd salleh
#pengadil
#perlawanan
#pengadil kebangsaan
#bola sepak
#Konfederasi Bola Sepak Asia
#afc