Pengadil aksi Sabah FC, Penang FC digantung kerana tersilap beri dua penalti

Bernama
Mac 19, 2023 12:13 MYT
Zulkarnain (gambar) menjadi tumpuan apabila menghadiahkan empat sepakan penalti pada aksi Liga Super di Stadium Likas, Kota Kinabalu, Jumaat lepas - tiga kepada Sabah FC dan satu kepada Penang FC. - Facebook Penang Football Club
KUALA LUMPUR: Pengadil kontroversi aksi Liga Super di antara Sabah FC dan Penang FC pada Jumaat lepas, dikenakan hukuman penggantungan secara serta-merta daripada mengadili sebarang perlawanan Liga Malaysia 2023.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Noor Azman Rahman berkata pengadil Zulkarnain Zakaria, telah terkhilaf dalam mengintepretasi dua situasi pemberian sepakan penalti kepada Sabah, pada minit ke-41 dan masa tambahan (90+9).
"Jawatankuasa Pengadil FAM memandangkan serius perkara ini dan akan memberikan peringatan dan teguran keras kepada semua pengadil, agar sentiasa optimum dalam menjalankan tugas dengan pemahaman bola sepak secara lebih holistik.
"Jawatankuasa juga tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan keras dan yang sewajarnya kepada mana-mana pengadil, yang menampilkan mutu pengadilan yang tidak memenuhi piawaian yang telah ditetapkan pada perlawanan akan datang," katanya menerusi kenyataan.
Noor Azman berkata keputusan itu dibuat oleh Jawatankuasa Penilaian Prestasi Pengadil FAM yang diketuai oleh Timbalan Presiden Datuk S. Sivasundaram selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM.
Jawatankuasa itu telah bersidang semalam bagi meneliti laporan daripada Penilai Pengadil perlawanan tersebut serta klip-klip rakaman video setiap insiden berkenaan.
Sabah FC mencatatkan kemenangan 5-2 ke atas Penang FC pada aksi di Stadium Likas, Kota Kinabalu itu, Jumaat lepas.
Zulkarnain menjadi tumpuan apabila menghadiahkan empat sepakan penalti pada aksi berkenaan, masing-masing tiga kepada pasukan tuan rumah dan satu kepada Penang FC.
-- BERNAMA
#pengadil #Zulkarnain Zakaria #silap beri sepakan penalti #hukuman penggantungan
;