Peng Soon, Yee See tinggalkan BAM
Sinar Harian
November 4, 2022 13:50 MYT
November 4, 2022 13:50 MYT
STATUS pemain beregu campuran negara, Chan Peng Soon sama ada kekal bersama Persatuan Badminton Malaysia (BAM) akhirnya terjawab.
Ia selepas Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM, Rexy Mainaky mengesahkan pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu akan meninggalkan badan induk badminton negara berkuat kuasa 30 November ini.
Menurut Rexy, punca Peng Soon keluar tidak ada kaitan dengan BAM sebaliknya memberi alasan masalah prestasi yang kurang baik menyebabkan pemain itu mengambil keputusan tersebut
“Peng Soon sudah buat keputusan untuk keluar dari BAM. Keputusan yang dibuat Peng Soon Ini tiada apa-apa kaitan dengan BAM sebaliknya dia ada perancangan yang tersendiri selepas pulang dari jelajah Eropah.
“Sebelum ini memang dia ada bercakap dengan saya, kalau jelajah Eropah ini dia tak dapat capai apa yang dimahukan dia akan keluar (BAM).
“Jadi berdasarkan prestasinya yang tewas pada pusingan pertama dalam jelajah Eropah, dia ambil keputusan untuk keluar.
“Kita sudah buat yang terbaik untuk mengekalkannya di BAM, namun kami hormat keputusannya itu. Kami ambil kesempatan ini untuk berterima kasih apa yang sudah dia sumbang kepada BAM sebelum ini,“ katanya dalam sidang akhbar di Akademi Badminton Malaysia pada Jumaat.
Sebelum ini, Peng Soon kembali bersama BAM pada Disember tahun lalu selepas tiga tahun meninggalkan badan itu untuk bergerak secara profesional bersama Goh Liu Ying.
Bagaimanapun kepulangan Peng Soon ke BAM bukanlah seperti yang diharapkan apabila gagal mendapat sebarang kejuaraan bersama pasangan baharunya Cheah Yee See.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh turut mengumumkan Yee See akan mengikut jejak langkah pasangannya itu untuk meninggalkan BAM.
“Selain itu, Yee See juga buat keputusan sama untuk meninggalkan BAM penghujung bulan ini selepas mengambil masa beberapa hari.
“Kami juga sudah berusaha untuk memujuknya tetapi tidak berhasil," jelas beliau. - Sinar Harian