Peng Soon - Liu Ying ke separuh akhir Seluruh England
Bernama
Mac 20, 2021 11:23 MYT
Mac 20, 2021 11:23 MYT
KUALA LUMPUR: Beregu campuran profesional negara Chan Peng Soon-Goh Liu Ying melangkah ke separuh akhir kejohanan badminton Seluruh England 2021 selepas menyingkirkan gandingan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Bagaimanapun, pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio itu terpaksa bermandi peluh selepas tewas pada set pertama 17-21 dalam perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena, Birmingham.
Gandingan yang diletakkan sebagai pilihan ketiga kejohanan itu bangkit pada set kedua 21-18 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan sebelum mengesahkan kemenangan 22-20, bagi menempah pertemuan dengan pasangan Jepun Yuki-Kaneko-Misaki Matsutomo.
Pasangan Jepun mara ke separuh akhir selepas mengenepikan lawan dari Denmark Niclas Nohr-Amalie Magelund 21-15, 21-10.
Bagaimanapun, nasib berbeza buat gandingan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing yang terkandas di suku akhir selepas tunduk kepada Yuta Watanabe-Arisa Higashino 21-17, 21-9.
Terdahulu, perseorangan lelaki utama negara Lee Zii Jia yang mempamerkan aksi meyakinkan telah mengejutkan pemain nombor satu dunia Kento Momota dari Jepun selepas tewas dalam enam pertemuan sebelum ini.
Dalam aksi suku akhir yang berlangsung 55 minit itu, Zii Jia berjaya menundukkan pemain Jepun itu 21-16, 21-19 untuk berdepan Mark Caljouw dari Belanda pada saingan separuh akhir.
Perjuangan juara Terbuka Switzerland Pearly Tan-M.Thinaah bagaimanapun berakhir apabila tewas kepada pasangan pilihan kelima dari Jepun Nami Matsuyama-Chiharu Shida, 12-21, 22-20, 16-21.
Namun, pujian harus diberikan buat gandingan meningkat naik negara kerana memberikan saingan sengit sebelum tunduk kepada pasangan yang berada di ranking ke-12 dunia itu.
-- BERNAMA