Peng Soon-Ee Wei mara ke pusingan kedua

Bernama
April 12, 2022 06:30 MYT
Peng Soon-Ee Wei (gambar) akan berdepan pasangan Zheng Siwei-Zhang Shu Xian di pusingan kedua pada Khamis ini. - Foto Facebook BAM
KUALA LUMPUR: Beregu campuran negara Chan Peng Soon-Toh Ee Wei berjaya meneruskan cabaran ke pusingan kedua kejohanan Masters Korea di Stadium Gwangju Yeonju, pada Selasa.
Peng Soon-Ee Wei yang merupakan beregu pilihan kelapan kejohanan, menewaskan rakan senegara Soong Joo Ven-Goh Jin Wei 21-11, 22-20, dalam pertarungan selama 31 minit.
Peng Soon-Ee Wei akan berdepan pasangan Zheng Siwei-Zhang Shu Xian di pusingan kedua pada Khamis ini, selepas beregu dari China itu menundukkan pasangan tuan rumah Park Kyung Hoon-Kim Yu Jung 21-6, 21-15.
Kejohanan Masters Korea itu, menyaksikan gandingan kali pertama antara Joo Ven dan Jin Wei, selepas kedua-duanya bergelar pemain profesional di bawah Kuala Lumpur Racquet Club.
Namun, Joo Ven dan Jin Wei berjaya melupakan kekecewaan tersebut apabila mencatatkan kemenangan dalam acara perseorangan lelaki dan wanita, untuk meneruskan kempen mereka di Korea Selatan.
Joo Ven, pemain di ranking 65 dunia, mudah membenam Jason Teh Jia Heng dari Singapura 21-8, 21-18, dalam masa 45 minit, dan akan bertemu wakil tuan rumah Heo Kwang Hee pada pusingan kedua.
Bekas juara dunia remaja, Jin Wei pula terpaksa mengheret perlawanan sehingga set penentuan sebelum mengejutkan pemain di kedudukan ke-21 dunia dari Thailand, Phittayaporn Chaiwan 21-12, 19-21, 21-11, pada perlawanan 55 minit.
Jin Wei yang kini menduduki ranking ke-128 dunia, seterusnya akan bertemu Wang Zhi Yi dari China, yang menyingkirkan wakil tuan rumah Sim Yujin 21-18, 21-16.
-- BERNAMA
#Chan Peng Soon-Toh Ee Wei #badminton #Masters Korea #beregu campuran negara
;