Penerjun negara rangkul perak dan gangsa

Bernama
November 24, 2012 11:34 MYT
Pasukan terjun negara memperoleh satu pingat perak dan gangsa pada kejohanan Renang Asia di Dubai semalam.
Ooi Tze Liang memungut jumlah mata 440.50 untuk menggondol perak dalam acara 3m springboard lelaki sementara Loh Zhiayi dan Cheong Jun Hoong mengumpul 230.82 mata untuk memperoleh pingat gangsa dalam acara 10m platform seirama wanita.
Dalam acara 3m papan anjal lelaki, Ooi, 18, hanya ketinggalan 39.75 mata di belakang pemenang pingat emas dari China Zhou Xin (480.25) sementara Xie Zhen dari Hong Kong (420.75) memperoleh pingat gangsa.
Seorang lagi penerjun negara Chew Yiwei menduduki tempat kelima dengan mengumpul 404.75 mata.
Bagi acara 10m platform seirama wanita, Loh dan Cheong diatasi oleh pasangan China dan Jepun untuk masing-masing memperoleh emas dan perak.
Penerjun China Xing Yiying dan Wang Wenna mencatat 315.21 mata sementara Yuka Mabuchi dan Fuka Tatsumi mencatat 240.72 mata.
#Dubai #pasukan terjun negara #Renang Asia
;