Penerjun British, Tom Daley umum bersara
Astro Arena
Ogos 13, 2024 13:33 MYT
Ogos 13, 2024 13:33 MYT
PEMENANG pingat Sukan Olimpik sebanyak lima kali, Tom Daley, mengesahkan persaraannya daripada sukan terjun.
Penerjun Britain berusia 30 tahun itu memenangi pingat perak bersama Noah Williams dalam acara terjun seirama 10 meter platform lelaki di Paris 2024 bagi melengkapkan set pingat yang dimenanginya membabitkan semua warna.
Daley kali pertama bertanding di pentas Sukan Olimpik pada usia 14 tahun ketika di Beijing 2008 sebelum mencipta sensasi peribadi apabila memenangi pingat pertamanya ketika di London 2012 menerusi gangsa dalam acara 10 meter platform individu lelaki.
Namun, edisi Tokyo 2020 merupakan temasya paling diingati buat Daley dalam penampilan Sukan Olimpik selepas muncul pemenang pingat emas bagi acara 10 meter platform lelaki seirama bersama Matty Lee.
Sebelum ini, Daley pernah menyuarakan hasrat untuk bersara, namun kembali buat pusingan U dalam membuat penampilan kali kelima di pentas Sukan Olimpik.
Untuk rekod, penerjun berasal dari Devon, England itu pernah menjulang dua gelaran dunia dalam acara platform individu.
Terima kasih Daley! -- Astro Arena