Penerima Anugerah Sukan Negara diharap jadi pencetus inspirasi kepada atlet pelapis
Bernama
Mei 26, 2016 09:51 MYT
Mei 26, 2016 09:51 MYT
Para atlet yang pernah menerima Anugerah Sukan Negara diharap dapat menjadi pencetus inspirasi kepada atlet pelapis baharu supaya terus mencipta kejayaan lebih besar dalam tempoh 50 tahun akan datang.
Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin berkata atlet negara perlu bangkit untuk mengangkat martabat sukan Malaysia hingga ke peringkat yang paling tinggi.
Beliau berkata perjuangan atlet negara bukan hanya untuk diri sendiri, sebaliknya mereka berjuang untuk mengharumkan nama Malaysia di persada sukan tempatan dan antarabangsa.
"Kilauan pingat yang diraih bukan datang hasil kerja di gelanggang sahaja, tetapi keringat berpuluh tahun lamanya hasil sokongan keluarga, jurulatih, penyokong dan masyarakat yang menjadi tonggak harapan dalam detik-detik mencabar," katanya pada majlis anugerah Anugerah Sukan Negara 2015 di sini Rabu malam.
Pada majlis itu, Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkenan menyampaikan anugerah kepada Olahragawan dan Olahragawati Kebangsaan 2015 iaitu pesilat Mohd Al Jufferi Jamari serta ratu terjun Pandelela Rinong.
Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. Hadir sama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Khairy berkata Anugerah Sukan Negara bukan sahaja meraikan semua pihak yang terlibat dalam melakar kejayaan seseorang atlet tetapi ia adalah untuk seluruh rakyat Malaysia yang telah memberi sokongan padu kepada mereka.
"Yang dinobatkan atau tidak, ketahuilah, bahawa Anugerah Sukan Negara adalah anugerah seluruh rakyat Malaysia untuk perjalanan panjang anda ini.
"Terima kasih di atas pengorbanan anda, dalam sebuah perjalanan penuh liku dan duri tatkala mengejar kejayaan yang akhirnya dikongsi bersama sebagai sebuah negara," katanya.
Khairy juga mengimbas semula kejayaan atlet negara sepanjang tahun lalu yang telah melebihi sasaran pingat emas (43 emas) pada Sukan SEA dan Para ASEAN di Singapura termasuk kehebatan ratu skuasy negara, Datuk Nicol Ann David yang terus unggul dalam sukan tersebut.
Anugerah Sukan Negara yang bermula pada 22 Julai 1987 disambut setiap tahun sebagai kemuncak pencapaian sukan Malaysia, dengan Tan Sri Dr. M.Jegathesan dan Datuk M.Rajamani masing-masing dinobatkan sebagai Olahragawan dan Olahragawati kebangsaan ketika itu.