Penerbangan kelas pertama bagi pemenang emas Sukan Asia Hangzhou 2022
Bernama
Julai 25, 2023 07:10 MYT
Julai 25, 2023 07:10 MYT
KUALA LUMPUR: Pemenang pingat emas pada temasya Sukan Asia Hangzhou 2022, bermula September ini, akan diberi insentif pulang ke tanah air dengan penerbangan kelas pertama bersama China Eastern Airlines.
Ketua kontinjen negara ke Hangzhou, Datuk Chong Kim Fatt, berkata penyediaan penerbangan kategori kelas pertama pulang ke tanah air adalah antara insentif sedang diusahakan oleh Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sebagai menghargai kejayaan atlet negara.
"Kita berjaya menjalin kerjasama dengan China Eastern Airlines yang mempunyai penerbangan secara terus ke Hangzhou. Mereka menawarkan tawaran eksklusif jika atlet negara meraih pingat emas, tempat duduk mereka dinaik taraf kepada kelas pertama tanpa kos tambahan.
"Ini adalah inisiatif bagi menggalakkan atlet kita menampilkan prestasi terbaik di Hangzhou dan yang penting, tawaran itu datang daripada syarikat swasta," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pengurus pasukan ke temasya itu di Wisma MOM, di sini, semalam.
Kim Fatt, yang juga Naib Presiden MOM, berkata Malaysia akan menghantar seramai 401 orang melibatkan 293 atlet dan 108 pegawai dalam 23 jenis sukan yang berlangsung dari 23 Sept hingga 8 Okt ini.
"Seramai 293 atlet yang terdiri daripada 117 di bawah kategori A manakala 176 di bawah kategori B disahkan akan ke Hangzhou nanti," katanya.
Kim Fatt dalam masa sama berkata satu bengkel penetapan sasaran Sukan Asia 2022 Hangzhou akan diadakan pada 22 Ogos depan.
Pada temasya sama edisi 2018 di Jakarta, kontinjen Malaysia meraih tujuh emas, 13 perak dan 16 gangsa, sementara pencapaian terbaik negara di temasya itu adalah pada 2010 di Guangzhou, China, dengan membawa pulang sembilan emas, 18 perak dan 14 gangsa.
-- BERNAMA