Pendedahan fakta bola sepak oleh TMJ

Astro Arena
Oktober 9, 2015 08:31 MYT
TMJ: "Inilah bukti yang FAM mengaut keuntungan melalui pengagihan bahagian yang tidak adil." - Gambar Fail
Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) mempersolkan perjanjian hak penyiaran perlawanan Liga Malaysia antara Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MP SILVA.
Dalam kenyataan baginda menerusi laman facebook JOHOR Southern Tigers, TMJ menjelaskan bahawa pasukan-pasukan bertanding menerima 30 peratus, FAM (40 peratus) pengurusan liga 20 (peratus) dan untuk pengadil serta pengurusan akar umbi 10 peratus).
"Sebagai contoh, sekiranya jumlah hasil penyiaran liga setiap tahun adalah RM70 juta, RM21 juta akan diagihkan kepada semua pasukan dimana setiap pasukan mendapat RM1 juta.
"FAM menerima RM28 juta, pengurusan liga RM14 juta dan untuk pengadil dan pengurusan akar umbi sebanyak RM7 juta.
"Sepatutnya peruntukan pengadil disalurkan kepada badan pengurusan pengadil yang berkecuali, supaya tiada isu berat sebelah kepada setiap pasukan," kata kenyataan tersebut.
TMJ turut berkata, Liga Malaysia bukan milik FAM, sebaliknya harus bertindak sebagai “pemegang amanah”.
"Yang terbaru, FAM membuat perjanjian dengan MP SILVA, jika mahu menguruskan liga FAM akan menjual hak penyiaran kepada mereka. Liga Malaysia bukan milik FAM. FAM hanya “pemegang amanah”. Liga ini adalah hak ahli gabungan. Jikalau tiada ahli gabungan, tiada pasukan bertanding dan tiadalah liga. Apabila tiada liga tiadalah badan induk iaitu FAM.
"Inilah bukti yang FAM mengaut keuntungan melalui pengagihan bahagian yang tidak adil.
"Bolasepak adalah hakmilik rakyat dan orang ramai. Bola sepak ini bukan periuk nasi saya. Saya buat kerana sukakan melihat rakyat saya bersatu. Saya buat dengan jujur dan ikhlas. Jikalau pemimpin tidak boleh berlaku jujur, tidak ikhlas, tidak boleh menjalankan tugas, tiada ketelusan, ianya bermakna dia tiada kaliber sebagai pemimpin.
"Apa yang akan memajukan bola sepak tanahair bukan sahaja pihak FAM, tetapi mentaliti pemikiran kita. Tindakan lebih bermakna dari kata-kata. Jikalau mereka ikhlas untuk memajukan bolasepak tanahair, saya ada mengemukakan cadangan-cadangan kepada FAM. Jika mereka tidak kisah, bermakna mereka tidak pedulikan pasal bolasepak," katanya.
TMJ yang mengadakan seminar bersama peminat di Stadium Tan Sri Dato Haji Hassan Yunos, di Larkin, hari ini, turut menyentuh isu kewangan yang dihadapai pasukan-pasukan yang boleh mengakibat berlakunya rasuah.
"Bagaimana FAM hendak menutup pintu gejala rasuah bolasepak sekiranya pasukan tidak berkemampuan untuk menguruskan pasukan masing-masing? Kalau semua pasukan dapat hasil penyiaran yang sepatutnya, dapatlah mereka membayar gaji mengikut masa dan elaun-elaun yang walaupun sedikit pasti dapat membantu menutup pintu rasuah bolasepak.
"Sekarang ini, masih wujud lagi gejala rasuah bolasepak kerana terdapat masalah pembayaran gaji pemain. Saya tidak salahkan pasukan, kerana saya tahu bagaimana peritnya mencari dana untuk pasukan. Bagaimana pasukan hendak bertahan kalau FAM sebagai badan induk bolasepak tidak membantu? Dengan keadaan sekarang, tak perlulah hendak bercerita tentang menswastakan liga," jelasnya.
#FAM #Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar #Sultan Johor #TMJ #Tunku Mahkota Johor
;