Pendaki solo perlu dana untuk jayakan misi
Bernama
Januari 9, 2016 19:44 MYT
Januari 9, 2016 19:44 MYT
Pendaki solo Khairil Aslan Ab Rasid mengalu-alukan sebarang sumbangan daripada mana-mana pihak untuk merealisasikan impiannya mendaki tujuh puncak di tujuh benua dalam tempoh setahun mulai bulan depan.
Khairil Aslan, 40, berkata perbelanjaan yang diperlukan untuk menjayakan misi mencabar itu mencecah jutaan Ringgit.
"Saya bersyukur dengan Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir yang sentiasa memberi sokongan kepada saya dan telah menyatakan sedia untuk mmbantu misi saya kali ini," katanya selepas mengunjungi Yang Dipertua Majlis Perbandaran Taiping Datuk Abdul Rahim Md Ariff di sini, pada Jumaat.
Tujuh puncak di tujuh benua yang akan didaki Khairil Aslan adalah Aconcagua Argentina di Benua Amerika Selatan; Everest di Asia, Denali di Alaska, Vinsson Massif di Antartika, Kilimanjaro di Afrika, Elbrus Russia di Eropah dan Cartenz Pyramid di Australasia.
Sementara itu, Abdul Rahim berkata pihaknya bersedia untuk memberikan sokongan moral terhadap anak jati Perak itu khusus dalam membantu mempromosikan aktiviti pendakiannya.
"Kita menyeru dan menggalakkan pihak korporat dan swasta membantu untuk merealisasikan cita-cita Khairil Aslan menjadi pendaki terpantas tujuh puncak di tujuh benua tahun ini, katanya.