Pendahulu EPL terkulai di tangan Crystal Palace
Astro Arena
September 11, 2021 05:35 MYT
September 11, 2021 05:35 MYT
PALACE 3 TOTTENHAM 0
Wilfried Zaha merobek gawang Tottenham buat julung kalinya dalam Liga Perdana Inggeris (EPL) sambil dua jaringan Odsonne Edouard mengesahkan kemenangan selesa 3-0 Crystal Palace di Selhurst Park, malam tadi.
Zaha pernah menghadapi Tottenham sebanyak 12 kali dalam kancah liga tanpa mencatatkan sebarang gol mahupun bantuan jaringan, tetapi pemain sayap lincah itu menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-76 sebelum menjana gerakan gol buat Edouard.
Pada saat dia mengambil sepakan penalti yang melewati Hugo Lloris itu, Tottenham sudah pun beraksi dengan 10 orang selepas kehilangan Japhet Tanganga pada minit ke-58.
Pertahanan itu dipersalahkan apabila mengutip dua kad kuning berikutan kekasaran ke atas Zaha dan Jordan Ayew.
Spurs yang tiba di kandang seteru di bahagian selatan London itu sebagai pendahulu EPL sebaliknya mempamerkan permainan longlai yang menyaksikan Harry Kane sama sekali tenggelam.
Bahkan, pelawat hanya mampu menguji pintu gol Palace sebanyak dua kali sepanjang perlawanan itu.
Pemain gantian, Edouard, yang dipancing daripada Celtic memastikan mata penuh ketika menyambung umpanan Zaha pada minit ke-84 -- hanya beberapa saat dimasukkan sebelum mengesahkan gol kedua peribadinya pada masa kecederaan.